BANGKOK: Hampir 20 ekor kucing peliharaan mati selepas diserang penyakit misteri di sebuah kampung di daerah Nang Rong, wilayah Buriram, Thailand, dengan pihak berkuasa mengesyaki penularan virus panleukopenia kucing atau distemper kucing.
Pejabat Penternakan Daerah menjalankan pemeriksaan di kampung berkenaan semalam dan akan menghantar sampel kucing terjejas ke makmal bagi mengenal pasti punca kematian.
Menurut pemilik haiwan, kucing yang dijangkiti pada mulanya menunjukkan gejala lesu dan hilang selera makan sebelum keadaan kesihatan semakin merosot dalam tempoh beberapa hari sehingga mati.
Malah, terdapat keluarga yang kehilangan semua kucing peliharaan mereka, sekali gus menimbulkan kebimbangan penyakit itu akan merebak kepada haiwan lain.
Seorang penduduk berusia 52 tahun berkata, keluarganya memelihara empat ekor kucing berusia antara satu hingga dua tahun yang turut jatuh sakit dan mati walaupun sudah menerima vaksin.
Beliau berkata, kini hanya mampu memantau keadaan kucing yang masih hidup bagi mengelakkan kehilangan lebih banyak haiwan peliharaan.
Seorang sukarelawan bantuan polis dari kampung berkenaan berkata, dua daripada empat ekor kucing peliharaannya mati, manakala seekor daripada dua yang masih hidup sudah tidak mahu makan.
Pegawai ternakan daerah Nang Rong, Nopporn Suadprakhon berkata simptom-simptom itu menunjukkan penyakit kucing yang sangat berjangkit dan sering membawa maut yang merebak antara kucing dan paling teruk memberi kesan kepada kucing yang tidak divaksin.
Bagaimanapun, beliau menegaskan punca sebenar penyakit itu masih belum disahkan dan pihaknya akan menjalankan ujian makmal terhadap sampel kucing yang sakit bagi mengenal pasti punca jangkitan serta merangka langkah pencegahan penularan.
Nopporn turut menasihatkan pemilik anjing dan kucing supaya memeriksa keadaan haiwan peliharaan masing-masing secara berkala.
Beliau berkata, haiwan yang menunjukkan gejala luar biasa seperti lesu dan hilang selera makan perlu diasingkan daripada haiwan lain sebelum segera dibawa mendapatkan rawatan veterinar.- AGENSI











