67,262 kemalangan jalan raya ibu negara dalam tempoh 10 bulan - Utusan Malaysia

67,262 kemalangan jalan raya ibu negara dalam tempoh 10 bulan

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus menyampaikan ucapan ketika majlis pemakaian pangkat dan serah terima tugas Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur di Dataran Balai Polis JSPT Jalan Tun H. S. Lee. Foto : Saddam Yusoff
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 67,262 kes kemalangan jalan raya direkodkan di ibu negara bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini dengan 197 kematian, 63 kes kecederaan parah dan 1,842 kecederaan ringan dicatatkan.

Daripada jumlah itu, sebanyak 65,160 kes lagi membabitkan kerosakan kenderaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, meskipun jumlah kemalangan yang direkodkan bagi tempoh berkenaan lebih rendah berbanding keseluruhan tahun 2025 angka itu masih belum boleh dianggap sebagai satu kejayaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Angka tersebut masih belum boleh dianggap sebagai satu kejayaan kerana tempoh pelaporan 2026 belum meliputi keseluruhan tahun.

“Statistik kemalangan maut melibatkan kesalahan berkaitan mabuk turut meningkat kepada empat kes bagi Januari hingga Oktober lalu berbanding tiga kes pada 2025,”katanya ketika berucap pada Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua JSPT Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, statistik tangkapan terhadap pelajar sekolah berusia bawah 17 tahun di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 turut menunjukkan peningkatan iaitu daripada 52 orang pada 2024 kepada 69 orang pada 2025.

“Ia meningkat kepada 114 orang bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.

“Peningkatan itu bukan sekadar isu penguatkuasaan, sebaliknya turut membabitkan aspek pendidikan, kesedaran, pengawasan ibu bapa dan tanggungjawab bersama masyarakat,”jelasnya.

Fadil berkata, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur melaksanakan sebanyak 563,953 tindakan penguatkuasaan bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, meningkat berbanding 444,590 tindakan dalam tempoh sama tahun lalu.

Jelasnya, tindakan penguatkuasaan itu direkodkan menerusi lima operasi utama iaitu Op Pematuhan, Op Perdagangan, Op Khas Bersepadu, Op Motosikal dan Op Mabuk yang dilaksanakan di sekitar ibu.

“JSPT Kuala Lumpur terus mempergiatkan advokasi keselamatan jalan raya, meningkatkan pemantauan di lokasi berisiko tinggi serta memperkukuhkan tindakan penguatkuasaan terhadap kesalahan yang boleh mengakibatkan kemalangan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini