GST tidak sesuai dilaksanakan, pendapatan rakyat belum tinggi -MOF - Utusan Malaysia

GST tidak sesuai dilaksanakan, pendapatan rakyat belum tinggi -MOF

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tahap pendapatan rakyat negara ini masih dianggap belum tinggi selain kos sara hidup yang menjadi isu utama, menyebabkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kurang sesuai untuk dilaksanakan buat masa ini.

Kementerian Kewangan berkata, walaupun GST lebih cekap daripada segi kutipan, ketelusan dan mekanisme kredit cukai input, pilihan sistem percukaian yang dilaksanakan perlu mengambil kira kemampuan rakyat

“GST cenderung bersifat regresif kerana golongan berpendapatan rendah membelanjakan bahagian yang lebih besar daripada pendapatan mereka untuk penggunaan, berbanding golongan berpendapatan lebih tinggi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Justeru, kerajaan berpandangan pelaksanaan GST pada masa ini kurang sesuai,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.

Sebelum ini Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) membangkitkan persoalan mengenai pendirian rasmi terkini kerajaan berhubung cadangan untuk menggabungkan kedua-dua elemen GST dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhadap sistem percukaian negara, serta bagaimana kementerian ingin memastikan rakyat dan peniaga tidak menjadi mangsa percubaan dasar percukaian yang tidak mempunyai hala tuju yang jelas.

Setakat ini, kementerian memaklumkan kerajaan telah melaksanakan beberapa langkah bersasar bagi mengurangkan kesan cukai berganda, termasuk menambah baik kemudahan di bawah layanan Cukai Jualan (CJ) dan Cukai Perkhidmatan (CP).

“Kerajaan kekal dengan pendirian untuk meneruskan pelaksanaan SST kerana sistem berkenaan membolehkan skop percukaian ditentukan secara lebih bersasar, dengan kebanyakan barangan dan perkhidmatan asas yang menjadi keperluan majoriti rakyat secara umumnya dikecualikan daripada cukai,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini