IPOH; Malaysia meneruskan rentak kemenangan dengan kejayaan ke atas Amerika Syarikat (AS) dalam kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah Edisi ke-32 di Stadium Azlan Shah, malam tadi.
Begitupun Speedy Tigers terpaksa mengerah segala kudrat sebelum menang 4-2 ke atas lawan.
AS tidak membenarkan Malaysia mendapat laluan mudah dengan corak bertahan menyebabkan kesukaran Malaysia menembusi benteng mereka.
Malah AS juga menjadi pasukan pertama merobek pintu gol negara yang sebelum itu kebal dalam perlawanan dengan Korea Selatan dan Kanada. .
AS turut mengejutkan tuan rumah apabila mendahului melalui jaringan Wyatt Katz pada minit ke-7 untuk menggamamkan penyokong.
Bagaimanapun Malaysia menyamakan kedudukan melalui Faizal Shaari pada minit ke-15.
Faiz Jali kemudian meletakkan tuan rumah 2-1 hadapan.
Malaysia menambah jaringan melalui Adam Johari pada minit-41 diikuti sentuhan pemusnah oleh Faizal Shaari untuk Malaysia mendahului 4-1.
Bagaimanapun Kai Kaeppeler merapatkan kedudukan pada m-ke-53.
Malaysia berjaya bertahan kedudukan 4-2 itu untuk merakam kemenangan ketiga sebelum turun bertemu Australia malam ini.
Terdahulu, Korea Selatan pula bangkit selepas dua kekalahan dengan menumpaskan Kanada 2-0.
Australia membuktikan keupayaan dengan membenam Pakistan 5-2. – UTUSAN











