Tiada calon SPM Terengganu dipindah akibat banjir - Utusan Malaysia

Tiada calon SPM Terengganu dipindah akibat banjir

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Tiada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Terengganu dipindahkan ke pusat peperiksaan lain setakat ini ekoran empat sekolah negeri ini terjejas akibat banjir.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Shamsuddin Md. Yusof berkata, empat sekolah terjejas ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Dato’ Haji Abbas dan Sekolah Sukan Malaysia Terengganu di Kuala Nerus serta Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Bukit Chendering dan SK Gelugor di Kuala Terengganu.

Menurutnya, asrama lelaki dan perempuan di SMKA Dato’ Haji Abbas dinaiki air menyebabkan pihak sekolah mengambil beberapa tindakan bagi memastikan keselamatan pelajar.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, pelajar tingkatan dua hingga empat diarahkan pulang ke rumah dengan diambil oleh penjaga masing-masing, manakala mereka yang menghadapi masalah pengangkutan dibenarkan pulang esok.

“Pelajar tingkatan lima yang menduduki SPM pula ditempatkan di bangunan tingkat atas bagi memastikan mereka dapat meneruskan persediaan menghadapi peperiksaan.

“Buat masa ini, hanya calon SPM dan beberapa pelajar tingkatan lain masih berada di asrama dengan jumlah penghuni terdiri daripada 56 lelaki dan 30 perempuan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau merangkap Penyelaras Bencana Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) berkata, keadaan air bertakung di kawasan sekolah berpunca daripada longkang yang dipenuhi air dan dijangka surut sekiranya hujan reda.

Sementara itu, seramai 64 pelajar Tingkatan Empat dan Lima di Sekolah Sukan Malaysia Terengganu turut terlibat dengan situasi banjir berkenaan.

Bagi SK Kampung Bukit Chendering, seramai 279 daripada keseluruhan 599 murid mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), manakala semua murid SK Gelugor turut mengikuti kaedah pembelajaran sama.

Bagaimanapun katanya, setakat ini tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di sekolah-sekolah berkenaan.

JPNT terus memantau perkembangan situasi banjir bagi memastikan keselamatan murid dan warga sekolah serta kelancaran peperiksaan SPM yang sedang berlangsung. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini