Pasukan rali Malaysia beraksi di Thailand bulan depan

Pasukan rali Malaysia beraksi di Thailand bulan depan

PARA pemandu dari Malaysia bakal membawa cabaran negara dalam kejohanan Classic/RWD Rally Festival 2026 di Khao Chamao, Rayong, Thailand bulan depan.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Empat pemandu Malaysia bakal membawa cabaran negara dalam kejohanan Classic/RWD Rally Festival 2026 di Khao Chamao, Rayong, Thailand bulan depan.

Kejohanan yang bakal berlangsung pada 12 dan 13 Disember itu bakal menampilkan Saladin Mazlan bersama jurupandu arah, Arish Qutb yang memandu Subaru Impreza GC8 di bawah Saladin Rallying serta Ibrahim Saladin bersama Shazwan Akif dengan Subaru Impreza GDB.

Turut beraksi pemandu dari negeri ini, Azrul Azhar Norbakari bersama Kamarul Anuar yang memandu Mitsubishi Lancer Cedia mewakili AA Motorsports Rallying, manakala Farid Jamel bersama Diana Khairi membawa Proton Satria 2.0 di bawah SIR2.

Memuatkan artikel berkaitan…

Majlis pelepasan bagi pasukan rali Malaysia itu disempurnakan oleh Pengarah cawangan Pembangunan Sukan Rekreasi, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Dharzuky Daud di bangunan The Nizra, Sungai Pencala baru-baru ini.

Malaysia tidak mempunyai kejohanan rali tempatan sejak 2019 dan situasi itu mendorong pasukan tempatan beralih ke Thailand yang menganjurkan empat pusingan setiap tahun bagi mengekalkan kemahiran serta membuktikan bahawa sukan rali di Malaysia masih hidup

Rali ialah satu disiplin sukan bermotor yang mana para pemandu bersaing dengan masa terpantas bukan secara bersekali dengan jentera perlumbaan lain dalam satu masa yang sama.

Dalam pada itu, pada minggu berikutnya dari 19 hingga 20 Disember, seorang lagi pemandu Malaysia, Ooi S.C akan bersaing dalam pusingan empat Thailand Rally Raid Championship di Nakhon Sawan dengan beliau akan memandu Toyota Hilux Revo bersama pasukannya, Full Throttle Motorsport.

Penyertaan mereka juga menjadi platform penting untuk memastikan sukan rali Malaysia terus kekal relevan di peringkat serantau.

Orang ramai dijemput mengikuti perkembangan pasukan serta menyalurkan sokongan dan doa kepada para peserta.

Sebarang perkembangan terkini akan dikongsikan melalui Facebook dan Instagram Saladin Rallying serta Full Throttle Motorsport.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini