PERALIHAN dari sekolah rendah ke sekolah menengah bukan sekadar perubahan tempat belajar, malah membawa cabaran baharu dari segi persekitaran, pergaulan dan tuntutan pembelajaran.
Pada peringkat ini, murid perlu membina keyakinan diri, menyesuaikan diri dengan suasana berbeza serta bijak membuat keputusan ketika berhadapan pelbagai pengaruh.
Sehubungan itu, Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE), MAIPs menganjurkan Program Pembangunan Diri Siri 3 pada 14 November 2026 di Hotel Seri Malaysia Kangar, Perlis. Program di bawah Pemangkin Pembangunan Insan Terpilih Madani (PPITM) Sekolah Rendah Fasa 2 itu melibatkan 73 murid.
Inisiatif ini wajar dipuji kerana memberi perhatian kepada persediaan sahsiah dan emosi kanak-kanak sebelum melangkah ke alam menengah. Selain kecemerlangan akademik, mereka memerlukan pegangan hidup yang mampu membimbing tindakan ketika berhadapan tekanan rakan sebaya dan persekitaran baharu.
Agama berperanan sebagai kompas yang membantu murid mengenal arah dan membezakan perkara baik daripada buruk. Nilai keimanan, amanah, kejujuran, hormat-menghormati serta tanggungjawab perlu diterapkan dalam kehidupan seharian, bukan sekadar dipelajari sebagai pengetahuan.
Penghayatan nilai ini lebih bermakna apabila murid mampu mengamalkannya ketika berhadapan situasi sebenar, termasuk menolak ajakan negatif atau mengakui kesilapan tanpa menyalahkan orang lain.
Program berkenaan turut menilai keberkesanan modul PPITM dalam membentuk disiplin, jati diri dan keyakinan peserta. Pengisian disusun melalui modul Sokongan Sosial, Keagamaan dan Kerohanian (Kompas Jiwa), Unlock Your Potential serta Misi Alam Menengah. Pendekatan ini membantu murid mengenali sokongan keluarga, memahami potensi diri dan membina persediaan menghadapi perubahan.
Dari sudut kaunseling, murid perlu dibimbing memahami hubungan antara pemikiran, emosi dan tindakan. Kemahiran mengurus perasaan serta menilai sesuatu keadaan secara rasional dapat membantu mereka mengelakkan keputusan terburu-buru.
Penglibatan pensyarah dan mahasiswa universiti sebagai pengendali serta fasilitator turut memperlihatkan pentingnya kerjasama antara institusi pendidikan. Namun, pembentukan sahsiah tidak boleh bergantung pada program jangka pendek semata-mata.
Guru dan ibu bapa perlu meneruskan bimbingan melalui teladan, komunikasi terbuka serta perhatian terhadap pergaulan dan penggunaan media sosial.
Pengetahuan membantu murid mencapai kecemerlangan akademik, manakala pegangan agama membimbing mereka mengharungi cabaran kehidupan.
Dengan sokongan berterusan, mereka bukan sahaja lebih bersedia memasuki sekolah menengah, malah mampu membesar sebagai insan berdisiplin, berkeyakinan dan bertanggungjawab. –UTUSAN
DR. NOR ASIKHIN ISHAK
Pensyarah Kanan,
Pusat Pengajian Pendidikan,
Universiti Utara Malaysia (UUM)











