MySiren tiada akses data peribadi pemilik peranti

MySiren tiada akses data peribadi pemilik peranti

FAHMI Fadzil (tengah) melakukan gimik pelancaran Sistem Amaran Awal Nasional (MySiren) di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, semalam. – BERNAMA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sistem Amaran Awal Nasional (MySiren) yang dilancarkan semalam ha­nya akan berfungsi menghantar notifikasi kepada pengguna tanpa mempunyai sebarang akses kepada data peribadi pemilik peranti.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, sistem dikendalikan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu, menggunakan teknologi Cell Broadcast System (CBS) untuk menyalurkan amaran secara langsung kepada telefon mudah alih yang serasi dalam kawasan geografi ditetapkan tanpa memerlukan pemasangan aplikasi atau pendaftaran.

“MySiren ini berbeza dengan kaedah SMS (sistem pesanan ringkas) di mana pesanan dihantar kepada nombor pe­nerima, sistem yang digunakan ini tidak mendapatkan apa-apa maklumat mahupun data daripada peranti pengguna.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ia juga tidak melibatkan sebarang kos kepada penerima pesanan,” katanya semasa sidang akhbar selepas melancarkan MySiren di bangunan Parlimen di sini.

Fahmi berkata, ujian penerimaan amaran MySiren secara serentak di seluruh negara, dijadual akan dilakukan pada pukul 10.10 pagi 29 November ini.

Mengulas lanjut mengenai MySiren, Fahmi berkata, sistem berkenaan berkeupayaan menyampaikan maklumat atau amaran jauh lebih pantas dan serentak kepada semua peranti, berbanding menggunakan kaedah penghantaran SMS.

“Kalau SMS, dia akan melalui queue daripada telco. Ini dia bypass telco, terus kepada apa disebut, sebagai alat pemancar, semua menara telekomunikasi boleh bertindak sebagai pemancar bagi mesej amaran bencana.

“Jadi semua pengguna yang berada dalam satu lingkungan menara ataupun pemancar yang aktif, semua peranti itu akan mendapat maklumat yang sama pada waktu yang sama,” katanya.

Fahmi berkata MCMC kekal sebagai agensi yang mengendalikan sistem MySiren dengan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), juga boleh mengakses sistem berkenaan.

“Pada waktu ini fokus ialah (notifikasi) bagi keadaan banjir, tanah runtuh dan bencana alam tapi akan diperluas kepada beberapa maklumat lain termasuk kebakaran, kehilangan individu ataupun kanak-kanak dan perkara-perkara berkaitan PBT yang mempunyai sifat bencana,” katanya.

Fahmi berkata MySiren mula dibangunkan pada 2025, selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkannya sewaktu pembentangan Belanjawan 2025 pada Oktober 2024, dengan kos keseluruhan berjumlah RM200 juta. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini