Untung bersih TH Plantation naik 476 peratus

Untung bersih TH Plantation naik 47.6 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: TH Plantations Berhad (THP) mencatatkan peningkatan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) meningkat 47.6 peratus kepada RM35.8 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026 berbanding RM24.3 juta pada suku sama tahun lalu.

Bagi suku itu juga untung sebelum cukai dan zakat (USCZ) sebanyak 68.6 peratus kepada RM72 juta berbanding tempoh sama tahun lalu.

Peningkatan itu menjadikan USCZ bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026 meningkat 35.4 peratus kepada RM111.3 juta, manakala hasil turut meningkat 4.7 peratus kepada RM279 juta berbanding RM266.4 juta.

Memuatkan artikel berkaitan…

Syarikat itu berkata, peningkatan keuntungan itu didorong terutamanya oleh hasil tanaman dan kadar perahan yang lebih tinggi, susulan peningkatan kualiti buah tandan segar (BTS) serta kecekapan operasi.

“Kadar perahan minyak (OER) meningkat 3.4 peratus kepada 19.87 peratus berbanding 19.21 peratus, manakala kadar perahan isirung (KER) bertambah baik 7.2 peratus kepada 5.06 peratus berbanding 4.72 peratus.

“Prestasi kewangan suku ketiga turut mengambil kira pengiktirafan semula susut nilai dan pelunasan susulan pemberhentian klasifikasi aset dipegang untuk dijual membabitkan lima anak syarikat TH PELITA.

“Sehubungan itu, keputusan kewangan bagi suku sama tahun lalu turut dinyatakan semula bagi mencerminkan pelarasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapuan, THP berkata, peningkatan PATAMI yang lebih sederhana berbanding USC itu disebabkan bahagian keuntungan Kumpulan yang lebih tinggi diperuntukkan kepada kepentingan bukan pengawal (NCI).

Bagi tempoh sembilan bulan, hasil kumpulan meningkat 1.9 peratus kepada RM689.3 juta berbanding RM676.3 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

“Peningkatan itu disumbangkan oleh jumlah jualan BTS yang lebih tinggi serta kenaikan harga purata jualan direalisasikan bagi minyak sawit mentah (CPO) dan isirung sawit (PK), masing-masing sebanyak 1.4 peratus dan 2.1 peratus.

“Keuntungan selepas cukai (USC) bagi tempoh berkenaan meningkat 24.5 peratus kepada RM54.8 juta berbanding RM44 juta, manakala PATAMI meningkat 4.3 peratus kepada RM42.6 juta berbanding RM40.8 juta,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, kumpulan akan terus memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti tanaman, kecekapan penuaian, penggunaan kilang dan pengurusan kos bagi memperkukuh prestasi operasi sepanjang baki 2026 hingga 2027.

THP menjangkakan prospek industri minyak sawit kekal menggalakkan bagi baki tahun ini dan 2027, disokong prospek harga CPO yang semakin baik.

Bagaimanapun, paras inventori domestik yang tinggi dan permintaan tidak menentu berpotensi mengehadkan kenaikan harga, manakala peningkatan kos bahan api dan pengangkutan terus memberi tekanan kepada margin operasi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini