Penyudah KL City masih tumpul 

Penyudah KL City masih tumpul 

ANTARA aksi Kuala Lumpur (KL) City FC menentang Penang FC di Stadium Bolasepak KL, Cheras, kelmarin. - IHSAN KL CITY FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketumpulan jentera serangan terus menghantui Kuala Lumpur (KL) City FC apabila deretan peluang gagal disudahkan ketika tewas 0-1 kepada Penang FC dalam saingan Liga Super, kelmarin.

Kekalahan itu menyaksikan anak buah Datuk Dollah Salleh di tangga kesembilan carta liga dengan enam mata, manakala kemenangan membolehkan ketua jurulatih baharu Harimau Kumbang, Victor Andrag memulakan tugas dengan langkah kanan apabila melonjak ke kedudukan ketujuh dengan tujuh mata.

Dollah mengakui kekalahan itu amat mengecewakan kerana anak buahnya mempamerkan permainan baik serta mencipta beberapa peluang, namun masih gagal menterjemahkan dominasi berkenaan kepada jaringan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, masalah penyudah terus menjadi kelemahan utama pasukan, sama seperti ketika tewas kepada Melaka FC sebelum ini, sekali gus menuntut penambahbaikan segera di bahagian serangan.

“Saya sudah beritahu pemain bahawa kita bermain baik, tetapi akhirnya terpaksa akur dengan kekalahan. Itu sungguh menghampakan kerana sebagus mana pun permainan, jika gagal menjaringkan gol, memang sukar.

“Kita boleh mencipta banyak peluang tetapi masalah penyudah menjadi punca utama. Selama ini kita terlalu mengharapkan Paulo Josue untuk menjaringkan gol, jadi saya perlu perkemaskan lagi bahagian serangan,” katanya selepas perlawanan, kelmarin.

Mengulas keputusan meletakkan Josue di bangku simpanan sebelum memasukkannya pada babak kedua, Dollah menjelaskan kapten pasukan itu baru pulang daripada tugasan bersama skuad kebangsaan dan dirancang untuk diturunkan ketika pemain lawan mula keletihan.

Bagaimanapun, usaha KL City untuk memburu gol penyamaan terjejas apabila Josue dilayangkan kad merah pada minit ke-86 menerusi semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) selepas mengasari Dejan Tumbas.

“Selepas kad merah itu, saya arahkan semua pemain naik menyerang tanpa memikirkan soal bertahan lagi kerana tiada cara lain pada minit akhir, namun kita masih ketandusan gol walaupun pelbagai gerakan sudah diterapkan dalam latihan,” ujarnya.

Mengulas prestasi keseluruhan pasukan, Dollah mengakui kebimbangan terhadap corak permainan KL City sudah dirasai sejak kekalahan pertama, meskipun pasukan itu pernah meraih dua kemenangan ke atas DPMM FC dan Kelantan pada awal musim.

Tugas lebih berat menanti KL City pada aksi seterusnya di tempat lawan menentang Star City apabila terpaksa beraksi tanpa tiga tonggak iaitu Josue yang digantung akibat kad merah, selain Syafiq Ahmad dan Sharvin yang masing-masing mengumpul tiga kad kuning. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini