Air botol popular India didapati tidak selamat diminum

Sampel air botol popular India didapati tidak selamat diminum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Pengawal selia keselamatan makanan India mendapati sampel air minuman keluaran Bisleri International tidak selamat untuk diminum, sekali gus memberi tamparan kepada jenama air botol terbesar dan paling terkenal di negara itu.

Susulan penemuan itu, kerajaan merancang menjalankan pemeriksaan terhadap sampel produk semua syarikat pengeluar air minuman botol di seluruh negara, menurut sumber kerajaan.

Jenama Bisleri yang terkenal menerusi botol air berharga 20 rupee (RM0.90) menjadi pilihan isi rumah di India, yang berdepan masalah kualiti air sehingga menjadikan air botol satu keperluan bagi kediaman dan restoran.

Memuatkan artikel berkaitan…

Syarikat itu mengekalkan kedudukan sebagai peneraju pasaran meskipun bersaing dengan PepsiCo dan Coca-Cola dalam industri air minuman di India, dengan nilai syarikat dianggarkan melebihi AS$3.5 bilion (RM14.43 bilion).

Sumber kerajaan berkata, Pihak Berkuasa Keselamatan dan Piawaian Makanan India (FSSAI) merancang menguji lebih banyak sampel produk Bisleri dari seluruh negara, selain keluaran syarikat lain.

Pihak berkuasa itu turut memaklumkan akan memulakan prosiding undang-undang terhadap Bisleri.

“Keselamatan air minuman merupakan keutamaan Bisleri. Kami melaksanakan kawalan kualiti yang ketat,” menurut kenyataan syarikat itu yang turut menyatakan kesediaan bekerjasama dengan pihak berkuasa.

Bisleri memaklumkan syarikat itu mempunyai 130 kilang pengeluaran yang beroperasi, 5,980 pengedar di seluruh negara serta 8,270 trak pengangkutan.

Konglomerat multinasional Tata sebelum ini pernah mengadakan rundingan untuk mengambil alih syarikat pengeluar air botol itu.

Syarikat berkenaan turut melantik beberapa bintang Bollywood sebagai duta jenama, termasuk Shahid Kapoor dan Deepika Padukone.

Tindakan terhadap Bisleri itu diambil ketika India mempergiat penguatkuasaan terhadap jenama besar.

Menurut FSSAI menerusi hantaran di media sosial pada Ahad, sampel yang didapati tidak selamat itu diambil dari premis Bisleri dan gagal memenuhi had ditetapkan bagi kandungan bromat, iaitu bahan kimia yang terhasil sebagai produk sampingan daripada proses pembasmian kuman tertentu.

Selepas Bisleri mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu, pengawal selia kerajaan sekali lagi mendapati sampel berkenaan tidak selamat, namun kali ini mengesan kehadiran hidrokarbon aromatik polisiklik (PAH), menurut FSSAI.

Bisleri berkata, penelitian pihak berkuasa terhadap produknya bermula sejak September 2025.

Sumber kedua kerajaan memaklumkan kelompok produk yang dikaitkan dengan sampel tidak selamat itu sudah ditarik balik, manakala ujian susulan terhadap produk lain tidak menunjukkan sebarang masalah kualiti air.

Bagaimanapun, surat Bisleri kepada FSSAI pada Februari yang dilihat Reuters menunjukkan syarikat itu memaklumkan bahawa tiada lagi produk berkenaan di pasaran untuk ditarik balik ketika itu kerana semuanya dipercayai sudah dijual atau digunakan.

PAH menimbulkan kebimbangan serius terhadap kesihatan awam berikutan sifatnya yang toksik, boleh menyebabkan mutasi genetik serta berpotensi mengakibatkan kanser, menurut kajian yang diterbitkan tahun lalu dalam pangkalan data PubMed Perpustakaan Perubatan Negara.

Sementara itu, menurut Jabatan Kesihatan New York, sesetengah individu yang mengambil bromat dalam kepekatan tinggi mengalami masalah buah pinggang dan kehilangan pendengaran, meskipun tahap pendedahan mereka adalah beribu-ribu kali lebih tinggi berbanding had yang ditetapkan bagi air minuman.

Dalam kenyataannya, Bisleri berkata, sampel yang diambil dari kemudahannya di Goa tahun lalu menunjukkan kandungan bromat sebanyak 12 mikrogram seliter, berbanding had ditetapkan sebanyak 10 mikrogram seliter.

Bagaimanapun, ujian bebas susulan yang diatur syarikat itu mendapati kandungan bahan kimia berkenaan berada dalam had yang dibenarkan.

Bisleri merekodkan jualan tahunan sebanyak 32 bilion rupee India (AS$345.31 juta) bagi tahun kewangan berakhir Mac 2025.

Syarikat itu turut memasuki pasaran Emiriah Arab Bersatu (UAE) tahun lalu dengan menyatakan rantau berkenaan menawarkan peluang pertumbuhan besar, didorong kehadiran masyarakat India yang ramai dan sudah mengenali jenama mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini