PETALING JAYA: Kesenjangan dalam hubungan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor akhirnya ditunjukkan melalui undi belah bahagi Belanjawan Selangor 2027 yang diusulkan oleh Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada Jumaat lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata, walaupun undi belah bahagi itu sebahagian daripada proses demokrasi dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), namun menimbulkan persoalan apabila ia dikemukakan dalam keadaan kerajaan negeri mempunyai sokongan majoriti yang cukup.
Malah, katanya, proses tersebut adalah kali pertama dilaksanakan menerusi usul oleh wakil daripada pembangkang.
“Saya percaya setiap tindakan untuk mengusulkan undi belah bahagi oleh Ketua Pembangkang mempunyai pertimbangan dan pendekatan tersendiri. Dalam konteks politik, sudah tentu ia boleh dilihat daripada pelbagai sudut, termasuk dari segi kesepakatan dan penyelarasan pendirian antara parti-parti dalam PN.
“Apa pun, saya melihat perkara itu secara positif dan berharap kerjasama serta persefahaman dalam PN akan terus diperkukuh demi kepentingan rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jumaat lalu, Belanjawan Selangor 2027 berjumlah RM3.3 bilion diluluskan melalui undi belah bahagi yang diusulkan oleh Mohamed Azmin (PN-Hulu Klang) walaupun tujuh daripada pembangkang dilapor bersikap berkecuali dalam proses tersebut.
Dalam keputusan undi belah bahagi itu, seramai 42 daripada 56 ADUN bersetuju dengan Rang Undang-Undang Perbekalan Selangor 2027 untuk diluluskan, sementara tujuh daripadanya mengambil sikap berkecuali dan selebihnya tidak hadir.
Jelas Nurul Syazwani, bagaimanapun usul undi belah bahagi itu juga merupakan satu isyarat kepada kerajaan negeri supaya tidak terlalu selesa dengan sokongan yang diterima ketika banyak isu asas rakyat khususnya banjir yang berulang setiap tahun masih belum ada penyelesaian.
“Saya tidak mahu membuat kesimpulan terburu-buru kerana perbezaan pendirian dalam sesuatu pengundian tidak semestinya menggambarkan perpecahan dalam perjuangan.
“Menyokong tidak bermakna tunduk. Berkecuali tidak bermakna menentang dan berbeza pendirian tidak semestinya bermakna berpecah,” tegasnya.
Katanya lagi, beliau memutuskan menyokong belanjawan tersebut selepas kerajaan negeri mengambil kira beberapa pandangan yang dikemukakan dalam perbahasan sebelum ini antaranya inisiatif Rent-to-Own (RTO), kenaikan elaun guru KAFA dan penambahbaikan Speed Selangor. – UTUSAN








