LIVERPOOL: Mauricio Pochettino yakin mampu membawa Manchester United keluar daripada zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris (EPL) biarpun bermula hambar apabila dibelasah Liverpool 4-0, semalam.
Pengendali baharu United itu tetap mempertahankan barisan pemain, meskipun dibelasah Liverpool pada aksi pertamanya selaku pengurus, sambil menolak tanggapan prestasi buruk musim ini boleh membawa kepada penyingkiran.
United kekal di tangga ke-19 EPL dengan hanya satu kemenangan daripada 11 perlawanan selepas kekalahan memalukan di Anfield, yang menyaksikan Leny Yoro dilayangkan kad merah pada minit kelapan.
Pochettino berkata, dia melihat komitmen dan semangat juang pemainnya meskipun terpaksa berdepan situasi sukar apabila beraksi dengan 10 pemain selama lebih 80 minit.
“Kita perlu menerima realiti, bertanggungjawab, bersatu dan bersama-sama menghadapi keadaan ini. Apa yang saya pelajari daripada pemain ialah mereka mahu berjuang, komited serta mahu memenangi perlawanan.
“Menentang Liverpool adalah ujian yang sangat positif bagi saya. Selepas lapan minit, kita kehilangan seorang pemain akibat kad merah, kemudian dibolosi dan masih perlu bermain selama 80 minit. Adakah anda fikir mudah?,” katanya.
Pochettino, yang menggantikan Michael Carrick hanya tiba di Old Trafford pada Rabu lalu selepas mengendalikan pasukan kebangsaan Amerika Syarikat (AS), berkata, kad merah Yoro mengubah keseluruhan perlawanan.
Dia berulang kali merujuk insiden itu ketika menilai prestasi pasukannya, malah mempertikaikan keputusan pengadil kerana berpendapat penyerang Liverpool, Alexander Isak, belum mengawal bola dengan baik ketika Yoro mengasarinya.
“Pasukan terbaik di dunia sekalipun, dalam situasi seperti ini, mungkin boleh dibolosi empat gol atau lebih,” katanya.
Dalam masa yang sama, Pochettino enggan terlalu memikirkan kritikan atau persoalan mengenai kelemahan pertahanan United selepas pasukannya dibolosi empat gol buat kali ketiga musim ini dalam semua kejohanan. – AGENSI











