Sindiket seludup makanan sejuk beku haram tumpas, produk bernilai RM 32.5 juta dirampas

Sindiket seludup makanan sejuk beku haram tumpas, produk bernilai RM 32.5 juta dirampas

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rangkaian sindiket penyeludupan, penyimpanan serta pemprosesan makanan sejuk beku haram yang mengancam keselamatan makanan negara terbongkar selepas 68 premis yang diperiksa dengan rampasan keseluruhan bernilai RM32.5 juta.

Menerusi Op Salju yang dijalankan di 13 negeri bermula 9 November hingga 22 November lalu turut merekodkan pelbagai jenis produk sejuk beku bernilai RM18.17 juta dirampas.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, sindiket terbabit dikesan menggerakkan rangkaian jenayah terancang merangkumi pembekalan haram, penyimpanan serta aktiviti pembungkusan dan pelabelan semula produk sebelum diedarkan secara meluas ke pasaran tempatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, modus operandi yang digunakan termasuk pengisytiharan barangan yang tidak tepat dan mengelirukan, penggunaan dokumen palsu dan meragukan, kegagalan mengemukakan permit import yang sah, serta ketidakpatuhan total terhadap syarat penyimpanan dan pengedaran.

“Hasil pemeriksaan dijalankan mendapati 55 daripada 68 premis yang diserbu melakukan pelbagai kesalahan. Kesemua premis membabitkan 29 stor atau kilang, 18 premis perniagaan dan pasar raya serta lapan pusat penyembelihan.

“Turut ditahan iaitu 96 individu berusia 14 hingga 73 tahun, terdiri daripada 41 warga tempatan dan 55 warga asing,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mohd. Yusri berkata, selain produk sejuk beku, pelbagai bahan mentah makanan bernilai RM370,139.60, kenderaan serta jentera (RM2.01 juta) dan pelbagai barangan lain berjumlah RM12.02 juta turut dirampas.

Katanya, sebanyak 37 kompaun bernilai RM 194,932.59 dikeluarkan di lokasi serbuan.

“Kita juga telah menyerahkan maklumat 68 syarikat terbabit kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk siasatan lanjut bagi mengesan ketirisan cukai, manakala semua produk sejuk beku yang dirampas akan dimusnahkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mengikut prosedur ditetapkan supaya tidak kembali ke pasaran.

“Impak Op Salju tidak seharusnya diukur berdasarkan tangkapan atau rampasan semata-mata sebaliknya diukur berdasarkan keyakinan rakyat bahawa apa yang mereka makan adalah selamat, bersih dan halal serta dijamin kerajaan,” tegasnya.

Katanya, penyeludupan makanan sejuk beku tidak boleh dilihat sebagai isu terpencil sebaliknya mesti ditangani sebagai ancaman penguatkuasaan bersepadu yang mencabar keselamatan sempadan negara, kedaulatan undang-undang perdagangan, keselamatan makanan dan hak perlindungan pengguna.

“Menerusi operasi dilaksanakan membabitkan kekuatan 745 pegawai dan anggota daripada Pasukan Gerakan Am (PGA), Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) serta sembilan agensi penguatkuasaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini