Pelabuhan di tiga negeri jadi lokasi sasaran penyeludupan

Pelabuhan di tiga negeri jadi lokasi sasaran penyeludupan

MALAYSIA mencatatkan jumlah perdagangan bernilai RM257.9 bilion pada Disember 2024.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Beberapa pelabuhan utama negara yang terletak di tiga negeri berada dalam radar siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas dikesan menjadi lokasi sasaran sindiket penyeludupan melakukan aktiviti mereka.

Satu sumber mendedahkan kepada Mingguan Malaysia, SPRM kini dalam risikan mengenal pasti syarikat-syarikat pengimport yang menjadi ‘dalang’ membayar pihak berkuasa agar melicinkan aktiviti penyeludupan itu

“Tiga pelabuhan itu yang terletak di lokasi timur dan utara tanah air sudah berada dalam radar SPRM. Tunggu masa untuk digempur,” kata sumber itu kepada Mingguan Malaysia di sini semalam.

Akhbar ini dalam laporan muka hadapan semalam mendedahkan siasatan SPRM tidak menolak kemungkinan lebih 10 kargo membawa barangan bercukai berkemungkinan ‘lolos’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada satu-satu masa.

Barangan seperti tembakau kunyah, rokok, arak, produk kesihatan dan alat ganti kenderaan yang dimport dari India, Bangladesh dan China diseludup masuk ke negara ini sehingga menyebabkan kerajaan kerugian sebanyak RM2 billion dalam tempoh dua tahun ini.

Lapor akhbar ini, barangan yang sepatutnya dikenakan cukai telah ‘dilepas’ penguat kuasa tanpa pengikraran Borang Kastam 1 (K1) dan pemeriksaan teliti.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, seramai 34 anggota dan pegawai dan anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) ditahan selepas bersekongkol dengan sindiket penyeludupan terlibat.

Kata beliau, menerusi operasi khas Op Samba 2.0 dilakukan pada 11 sehingga 25 Mac lalu yang diketuai Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bank Negara Malaysia (BNM) turut menahan 27 orang awam dan pemilik syarikat ejen penghantaran.

Jelas beliau, mereka ditahan terdiri penguat kuasa berpangkat gred 19 hingga gred 44 dengan memegang jawatan sebagai Pembantu Penguasa Kastam sehingga Penolong Pengarah Kastam berusia 30 dan 50-an.

Mereka ini disyaki telah menerima bayaran tertentu daripada syarikat ejen penghantaran (forwarding agent) sebagai balasan melindungi aktiviti penyeludupan yang dijalankan sejak tahun 2017 sehingga kini.

Hasil kegiatan ini, kesemua mereka disyaki menerima wang rasuah berjumlah lebih RM 4.7 juta hasil bersekongkol dengan sindiket terlibat.

Mengulas lebih lanjut, Azam berkata, lapan kenderaan mewah dimiliki pemilik syarikat termasuk telefon bimbit, komputer riba turut disita bagi membantu siasatan.

Selain kata beliau, sejumlah 231 akaun bank berjumlah RM17,621,578.50 disyaki milik individu dan syarikat yang bertindak sebagai keldai akaun turut dibekukan.

Sindiket ini akan menggunakan perkhidmatan ejen penghantaran sebagai orang tengah bagi pembayaran rasuah kepada penguat kuasa yang bertugas dalam pemeriksaan dan pencegahan di Kargo lapangan terbang itu.

Pembayaran rasuah itu sebagai balasan bagi melicinkan proses penyeludupan tanpa melalui pengisytiharan serta pemeriksaan yang sepatutnya.

Akaun keldai akan digunakan bagi melakukan transaksi pembayaran wang rasuah kepada pegawai-pegawai Kastam bagi mengelakkan transaksi kewangan tersebut dikesan oleh pihak berkuasa.

Akaun keldai ini diwujudkan bagi memasukkan pembayaran rasuah sebelum wang itu disalurkan kepada akaun peribadi pegawai-pegawai terlibat dengan jumlah tertentu.

Pembayaran sebanyak RM500 sehingga 5,000 telah dilakukan syarikat-syarikat tertentu kepada pegawai yang sedang bertugas di pintu negara agar tiada tindakan diambil ke atas barangan yang diimport. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN