PUSPAKOM meterai perjanjian kolektif kelima, naik gaji hingga 19 peratus

PUSPAKOM meterai perjanjian kolektif kelima, naik gaji hingga 19 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: PUSPAKOM Sdn. Bhd. (PUSPAKOM) memeterai Perjanjian Kolektif Kelima bersama Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Perdagangan (NUCW) yang merangkumi penambahbaikan gaji, kelayakan cuti dan faedah perubatan kepada 788 pekerja syarikat itu.

Antara penambahbaikan yang dipersetujui termasuk kenaikan skala gaji antara 11 hingga 19 peratus, peningkatan kelayakan cuti tahunan serta pelanjutan cuti Haji daripada 15 kepada 40 hari.

Perjanjian itu turut memperkenalkan kelayakan cuti Umrah baharu selama tujuh hari bekerja, selain penambahbaikan faedah kemasukan hospital, perubatan dan pergigian serta semakan elaun pekerja.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Mahmood Razak Bahman, berkata perjanjian berkenaan mencerminkan pengiktirafan syarikat terhadap hubungan rapat antara kebajikan pekerja dengan prestasi organisasi.

Katanya, tenaga kerja memainkan peranan penting dalam mengekalkan prestasi perniagaan dan memastikan penyampaian perkhidmatan yang berkualiti.

“Di PUSPAKOM, kami percaya bahawa pelaburan terhadap warga kerja amat penting dalam membina organisasi yang kukuh dan mampan.

“Penambahbaikan di bawah perjanjian ini mencerminkan komitmen kami untuk mewujudkan tempat kerja yang membolehkan pekerja berasa dihargai, disokong dan bermotivasi.

“Saya sangat berbangga dengan peningkatan cuti Umrah ini. Pekerja yang mempunyai pegangan dan keseimbangan diri yang baik akan memberikan manfaat kepada sesebuah organisasi,” katanya dalam kenyataan.

Perjanjian yang ditandatangani pada 12 November lalu di Mercure Kuala Lumpur, Glenmarie itu melibatkan kira-kira 51 peratus daripada keseluruhan 1,542 pekerja PUSPAKOM.

Beliau berkata, hubungan kerjasama konstruktif dengan NUCW turut menjadi faktor penting dalam memastikan rundingan menghasilkan manfaat kepada pekerja dan organisasi.

“Pemeteraian perjanjian itu mencerminkan hubungan kerjasama jangka panjang antara pihak pengurusan PUSPAKOM dengan NUCW yang berteraskan rasa hormat, penglibatan konstruktif dan dialog berterusan.

“Rundingan antara kedua-dua pihak mengambil kira keseimbangan antara kebajikan serta kepentingan pekerja dengan keperluan operasi dan objektif perniagaan jangka panjang syarikat.

“Tenaga kerja yang bermotivasi dan komited kekal menjadi faktor penting dalam memperkukuh operasi, meningkatkan keupayaan penyampaian perkhidmatan serta memastikan perkhidmatan yang boleh dipercayai kepada pelanggan,” ujarnya.

Syarikat itu akan terus bekerjasama dengan pekerja dan wakil kesatuan bagi memupuk budaya kerja positif, memperkukuh penglibatan pekerja serta mengekalkan komitmen sebagai majikan yang bertanggungjawab dan progresif.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini