JOHOR BAHRU: Mahkamah Tinggi, di sini hari ini menaikkan hukuman denda RM500,000 kepada RM600,000 masing-masing terhadap dua penjawat awam atas kesalahan rasuah dan bersubahat meminta suapan, 11 tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Abdul Fareed Abdul Gafoor membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan silang pihak pendakwaan terhadap denda RM500,000 dijatuhkan ke atas Sanizam Bachok, 52, dan Nor Yazid Khairy, 55, oleh Mahkamah Sesyen, di sini tahun lalu.
Kedua-dua tertuduh masing-masing dikenakan denda RM350,000 bagi pertuduhan pertama dan RM250,000 bagi pertuduhan kedua.
Abdul Fareed turut menaikkan hukuman penjara daripada empat kepada lima tahun bagi setiap pertuduhan, selepas membenarkan rayuan silang pihak pendakwaan.
Bagaimanapun, pelaksanaan hukuman terhadap dua penjawat awam itu ditangguhkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan, tertakluk kepada syarat ditetapkan.
Mahkamah turut mengenakan tambahan wang jaminan RM20,000, menjadikan keseluruhan jumlah ikat jamin RM60,000, selain mengarahkan kedua-dua tertuduh menyerahkan pasport dan melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhampiran, sebulan sekali.
“Mahkamah ini membenarkan permohonan untuk menggantung pelaksanaan hukuman dengan syarat wang jaminan sebanyak RM40,000 dinaikkan kepada RM60,000 dengan seorang penjamin warganegara tempatan beserta syarat tambahan yang lain.
“Notis rayuan hendaklah difailkan dalam tempoh dua minggu dari tarikh hari ini; sekiranya gagal, ketetapan dan perintah ini adalah terbatal dan hukuman pemenjaraan berjalan serta-merta,” katanya.
Mengikut kertas pertuduhan, Sanizam yang juga Pegawai Laut Gred A41 di Jabatan Laut Malaysia (Wilayah Selatan) meminta suapan wang tunai RM70,000 daripada Lim Tiam Lay untuk mengeluarkan surat kelulusan beroperasi atas Kapal Hai Tai 1, Kapal Hai Tai 2 dan Kapal Hai Tai 3 di sebuah restoran di Persiaran Ledang Heights, Iskandar Puteri pada pukul 6 petang, 25 November 2015.
Bagi kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM (ASPRM) 2009, tertuduh dijatuhkan hukuman penjara selama empat tahun dari tarikh sabitan dan denda RM250,000, selain diperintahkan penjara 24 bulan penjara sekiranya gagal membayar denda.
Bagi pertuduhan kedua, Sanizam telah memperoleh untuk dirinya suapan wang tunai RM50,000 daripada Tiam Lay untuk mengeluarkan surat kelulusan beroperasi atas Kapal Hai Tai 1, Kapal Hai Tai 2 dan Kapal Hai Tai 3 di lokasi sama pada pukul 11 pagi pada 27 November 2015.
Bagi kesalahan di bawah Seksyen 17(a) ASPRM 2009, tertuduh dijatuhkan hukuman yang sama seperti pertuduhan pertama, dengan hukuman penjara diperintahkan untuk jalan serentak.
Sementara itu, Nor Yazid Khairi yang merupakan Pegawai Laut Gred A44 di jabatan yang sama bersubahat dengan Sanizam dalam perbuatan meminta dan suapan berkenaan, turut diperintahkan untuk menjalani hukuman yang sama. – UTUSAN









