JAKARTA: Jumlah korban kebakaran kilang gula-gula di wilayah Banten, Indonesia hujung minggu lalu meningkat kepada 24 orang, manakala kira-kira 30 lagi masih hilang.
Pihak berkuasa mengesahkan jumlah korban terkini ketika pasukan penyelamat meneruskan operasi mencari mangsa yang masih hilang di celah runtuhan bangunan terbakar.
Operasi menyelamat berdepan cabaran berikutan keadaan struktur bangunan yang tidak stabil, sekali gus menyukarkan usaha pasukan penyelamat memasuki kawasan terjejas.
Kebakaran berlaku pada Sabtu lalu di salah sebuah bangunan kilang gula-gula Fonusa Agung Mulia di Cikande, kira-kira sejam perjalanan dari ibu negara Jakarta.
Penasihat Presiden bagi hal ehwal buruh, Said Iqbal berkata, pihaknya sedang menilai pelaksanaan prosedur keselamatan di kilang berkenaan susulan kejadian itu.
Beliau berkata, pihaknya juga akan memanggil ketua pegawai eksekutif syarikat berkenaan bagi mendapatkan penjelasan berhubung insiden itu.
Laporan awal menunjukkan kebakaran dipercayai berpunca daripada litar pintas pada alat penghawa dingin, namun punca sebenar masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Kilang berkenaan dimiliki United Family Food, yang setakat ini belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kejadian itu.
Syarikat berkenaan mempunyai kira-kira 5,000 pekerja dan merupakan antara pembekal utama barangan pengguna di pasaran domestik Indonesia, selain mengendalikan empat pejabat di luar negara.
Antara produk keluaran syarikat itu termasuk jenama gula-gula popular Milkita dan mi segera Lemonilo, menurut maklumat di laman web rasminya.
Ketua Pegawai Eksekutif kilang itu, Steven Erwin Wijaya, berkata kira-kira 300 pekerja berada di kompleks kilang berkenaan ketika syif pada 21 November.
Operasi mencari dan menyelamat diteruskan hari ini, namun pasukan penyelamat berdepan risiko keselamatan susulan masih terdapat beberapa titik panas kebakaran serta keadaan struktur bangunan yang semakin tidak stabil.
Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Banten, Al Amrad berkata, keadaan itu menyukarkan operasi menyelamat dan membahayakan petugas yang berada di lokasi kejadian.
Beliau berkata, seramai 29 individu disahkan selamat, termasuk lima orang yang dimasukkan ke hospital untuk menerima rawatan.
Setakat ini, pasukan penyelamat mengeluarkan 24 beg mayat yang mengandungi cebisan anggota badan dari lokasi kejadian, namun pihak berkuasa di lapangan belum dapat mengesahkan jumlah sebenar korban.- AGENSI










