KUALA LUMPUR: Pembangunan pusat data baharu tidak akan dibenarkan sekiranya syarikat berkenaan tidak berupaya memastikan bekalan air mencukupi sehingga boleh menjejaskan keperluan domestik.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, aspek sedemikian perlu diambil kira walaupun ia melibatkan pelaburan bernilai tinggi.
Beliau berkata, perkara itu akan dinilai menerusi Pasukan Petugas Pusat Data (Data Center Task Force) yang bertanggungjawab meneliti kecukupan sumber air sebelum sesuatu projek diluluskan.
“Saya katakan sekiranya tidak menepati syarat yang ditetapkan, kita akan tolak walaupun pelaburan itu pelaburan yang besar kepada negara tetapi kita tetap menolak sekiranya berlaku ketidakcukupan air di negara kita ini.
“Tempat yang mana pusat data hendak dibina itu, kita akan membuat kajian sepenuhnya,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) yang meminta kerajaan menjelaskan sama ada PETRA akan menetapkan piawaian penggunaan air bagi pusat data baharu.
Ia termasuklah keperluan menggunakan sumber alternatif bagi memastikan bekalan air kepada pengguna domestik tidak terjejas, khususnya ketika musim kemarau.
Jelas Abdul Rahman, penilaian itu turut mengambil kira lokasi pembangunan pusat data, seperti di Johor yang mencatatkan permintaan tertinggi bagi pembangunan industri berkenaan.
Katanya, penyelarasan akan dibuat menerusi jawatankuasa teknikal dan jawatankuasa penyelarasan pembangunan pusat data di peringkat negara serta negeri bagi memastikan setiap projek mengambil kira kapasiti sumber air setempat.
“Kita akan selaraskan bagi memastikan bahawa kita tidak mahu sama ada air ini terjejas untuk rakyat negara kita sendiri,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan itu turut mengambil kira kajian yang dilaksanakan beberapa negara termasuk Amerika Syarikat dan negara jiran seperti Indonesia serta Thailand berhubung keperluan sumber air bagi pembangunan pusat data. – UTUSAN











