7,434 PKS jana eksport RM63.60 bilion

7,434 PKS jana eksport RM63.60 bilion

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak RM63.60 bilion nilai eksport direkodkan melalui penyertaan 7,434 7,434 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam program Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bagi tempoh Januari hingga Oktober lalu.

Daripada keseluruhan jumlah itu, sektor barangan bukan elektrik dan elektronik (E&E) menjadi penyumbang terbesar apabila merekodkan nilai eksport berjumlah RM57.29 bilion melalui 7,211 pengusaha.

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Abu Bakar Yusof berkata, pencapaian itu turut merekodkan lebihan dagangan sebanyak RM12.04 bilion selain menyokong lebih 383,000 peluang pekerjaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pencapaian eksport yang melakar sejarah itu membuktikan pemain industri Malaysia berada dalam rantaian nilai global, namun misi utama kita kini adalah mempertingkatkan peranan PKS secara agresif dalam pasaran eksport.

“Pencapaian lebih 7,400 PKS di bawah bimbingan MATRADE yang menjana eksport sebanyak RM63.60 bilion itu jelas membuktikan keberkesanan intervensi strategik yang dilaksanakan MATRADE secara berterusan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut beliau, MATRADE akan terus membantu syarikat tempatan mendapatkan kontrak global bernilai tinggi melalui penyertaan dalam pameran perdagangan antarabangsa serta program pembangunan kapasiti menerusi Akademi MATRADE.

Dalam pada itu, Abu Bakar memaklumkan eksport keseluruhan Malaysia bagi tempoh Januari hingga Oktober lalu melonjak 37.1 peratus kepada RM1.811 trilion, mencatatkan pertumbuhan terpantas bagi tempoh sama sejak 1990.

Peningkatan itu turut menyumbang kepada lebihan dagangan negara sebanyak RM274.81 bilion, paras tertinggi pernah direkodkan.

Eksport barangan E&E meningkat 53.9 peratus kepada RM891.99 bilion manakala sektor bukan E&E mencatatkan pertumbuhan 24 peratus kepada RM919.17 bilion.

Sementara itu, eksport Malaysia ke pasaran bukan tradisional termasuk Afrika, Asia Tengah dan Amerika Latin meningkat 23.7 peratus kepada RM80.57 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu.

Antara negara yang mencatatkan peningkatan ketara ialah Namibia sebanyak 470.2 peratus, Libya (399.8 peratus), Tanzania (47.5 peratus) dan Brazil (40 peratus).

Abu Bakar berkata, MATRADE akan terus memperluas pasaran eksport negara selain membantu PKS meningkatkan daya saing melalui pematuhan piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Katanya, langkah itu penting bagi mengurangkan kebergantungan kepada pasaran tradisional serta memperkukuh daya tahan perdagangan Malaysia dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini