PUTRAJAYA: Kegagalan sistem perparitan setempat khususnya bagi menampung kapasiti air hujan yang tinggi dalam tempoh singkat dikenal pasti antara punca utama kejadian banjir kilat yang kerap melanda kawasan bandar seperti di Lembah Klang.
Keadaan itu menjadi lebih buruk apabila sistem saliran semula jadi di dalam dan sekitar kawasan berkenaan turut mencapai had keupayaannya untuk menampung serta menyerap air.
Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Balqis Mohamed Rehan berkata, apabila keamatan hujan tinggi berlaku dalam tempoh singkat sehingga melebihi kadar pintasan kanopi dan serapan permukaan bumi, air hujan akan mula bertakung sebelum dapat dialirkan ke kawasan hilir.
“Air tidak dapat ke mana-mana lagi melainkan bertakung sementara menunggu giliran untuk keluar ke bahagian hilir. Oleh itu, kawasan tanah rendah akan menjadi mangsa kerana air di permukaan mengalir secara graviti ke lokasi berkenaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Balqis berkata, satu kajian pengesanan trend jangka panjang hujan menggunakan data hujan harian sepanjang 50 tahun daripada stesen hujan di kawasan utara Kuala Lumpur mendapati tiada peningkatan ketara dalam kejadian hujan ekstrem sepanjang tempoh berkenaan.
Berdasarkan anggaran perubahan guna tanah PLANMalaysia, terdapat kenaikan ~33 peratus untuk kawasan perumahan dan ~57 peratus untuk kawasan komersil daripada tahun 2019 ke tahun 2025.
Katanya, kemungkinan pembangunan pesat yang kurang penelitian terhadap kesan air ribut di bahagian hulu dan hilir kawasan pembangunan boleh jadi sebab dalam peningkatan kes banjir.
Sehubungan itu, katanya, penilaian terhadap faktor lain termasuk pembangunan tanah yang tidak seimbang, reka bentuk struktur saliran yang kurang berkesan serta keperluan kepada langkah mitigasi tambahan perlu diberi perhatian.

Beliau berkata, kajian forensik banjir setempat wajar dilaksanakan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian, termasuk meneliti keamatan dan corak taburan hujan, keadaan saluran keluar air, topografi serta bentuk muka bumi dan guna tanah semasa.
Katanya, penggunaan pemodelan hidrologi dan hidraulik serta aplikasi Sistem Maklumat Geografi (GIS) dalam simulasi banjir dapat membantu memberikan gambaran lebih jelas mengenai faktor penyumbang sebelum cadangan intervensi dirangka.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan Lembangan Sungai Klang yang meliputi kawasan seluas kira-kira 1,230 kilometer persegi merangkumi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sudah dilengkapi pelbagai projek tebatan banjir berskala besar.
Antaranya termasuk lencongan aliran sungai menerusi Terowong SMART, kolam takungan yang meliputi keluasan beratus-ratus ekar, sistem pam serta pelaksanaan pelbagai kolam takungan di tapak pembangunan atau On-Site Detention (OSD).
Bagaimanapun, katanya, langkah menangani banjir perlu mengambil kira perbezaan antara kejadian banjir besar akibat hujan monsun berpanjangan dengan banjir kilat yang berpunca daripada hujan perolakan berkeamatan tinggi dalam tempoh singkat.
Jelasnya, hujan Monsun Timur Laut yang berlaku secara meluas di kebanyakan kawasan dalam satu lembangan sungai untuk tempoh panjang boleh menyebabkan limpahan sungai di pelbagai lokasi, sekali gus mencetuskan banjir besar seperti yang berlaku pada 2021 dan 2024.
“Keadaan ini biasanya memerlukan intervensi berskala besar bagi mengurangkan impak banjir. Walaupun saluran lencongan merupakan antara pilihan yang terbukti berkesan, pelaksanaannya melibatkan kos sangat besar, memerlukan ruang yang luas serta cabaran penyelenggaraan dalam tempoh panjang,” katanya.
Sebaliknya, hujan perolakan yang berlaku dalam tempoh lebih singkat tetapi berkeamatan tinggi berpotensi membanjiri kawasan tanah rendah atau lokasi panas (hotspot), khususnya apabila kawasan berkenaan tidak mempunyai perlindungan struktur dan bukan struktur yang mencukupi.
Mengenai cadangan pembinaan projek lencongan bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan hilir Lembangan Sungai Klang, termasuk bahagian barat daya Kuala Lumpur, Balqis berkata, cadangan itu boleh dipertimbangkan berdasarkan kesesuaian teknikal dan keperluan kawasan terlibat.
Namun, katanya, reka bentuk, kapasiti, lokasi salur masuk dan salur keluar lencongan perlu melalui kajian terperinci serta analisis mendalam bagi memastikan keberkesanannya.
“Setiap projek tebatan banjir, khususnya yang berskala besar, perlu melalui analisis teknikal yang sangat terperinci dan hasil analisis itu seharusnya menjadi asas kepada keputusan yang diambil.
“Apa-apa keputusan perlu mengutamakan kepentingan rakyat dan negara melebihi kepentingan komersial,” katanya. – UTUSAN











