LAS VEGAS: Pelumba Red Bull, Max Verstappen menampilkan aksi cemerlang untuk menjuarai Grand Prix (GP) Las Vegas selepas mengharungi perlumbaan penuh dramatik dengan 35 pertukaran kedudukan di hadapan, sekali gus menamatkan saingan di tempat pertama mengatasi dua pelumba McLaren, Lando Norris dan Oscar Piastri.
Pelumba Belanda itu yang memulakan perlumbaan dari petak utama, berjaya mempertahankan kedudukan dalam pertarungan sengit sepanjang 50 pusingan, termasuk menepis cabaran berterusan pasangan Mercedes, George Russell dan Kimi Antonelli sebelum meraih kemenangan ke-75 dalam karier Formula 1 (F1).
Verstappen berkata, perlumbaan yang menyaksikan aksi saling memintas dan penggunaan slipstream secara agresif itu merupakan sesuatu yang belum pernah disaksikannya sepanjang berada dalam F1.
“Ini bukan sesuatu yang pernah saya lihat dalam Formula 1, itu sudah pasti. Perlumbaan ini benar-benar luar biasa dan sesuatu yang belum pernah saya saksikan sebelum ini.
“Pada awal perlumbaan, kami berjaya menggunakan deployment dengan tepat, tetapi sudah tentu pelumba lain mula belajar dan melihat apa yang kami lakukan.
“Pada satu ketika, saya tidak dapat kembali ke kedudukan pendahulu sebelum garisan mula dan tamat, sebab itu saya bertanya mengenai deployment untuk pusingan terakhir,” katanya.
Pertarungan sengit di kelompok depan berterusan sehingga penghujung perlumbaan sebelum Russell terkunci tayar dan menghentam penghadang ketika cuba mengejar Antonelli, manakala pelumba muda Mercedes itu turut mengalami masalah kuasa yang menyaksikannya merosot ke tempat keempat.
Norris dan Piastri mengambil kesempatan daripada situasi itu untuk melengkapkan podium di belakang Verstappen, dengan Norris di tempat kedua dan Piastri ketiga selepas kedua-duanya melakukan kebangkitan mengagumkan pada fasa akhir perlumbaan.
Verstappen berkata, pasukannya berjaya mengatur strategi penggunaan tenaga dengan baik walaupun perlumbaan berlangsung dalam keadaan penuh kekacauan, sekali gus memastikan beliau mampu mengekalkan kelebihan sehingga garisan penamat.
“Ia perlumbaan yang sangat mengujakan dan saya rasa semua orang menikmati aksi ini. Saya tahu Las Vegas merupakan satu pertunjukan besar sepanjang hujung minggu dan saya berharap kami berjaya memberikan aksi yang menarik di litar,” katanya.
Kemenangan itu merupakan yang ketiga Verstappen di Las Vegas dalam empat edisi GP di litar berkenaan, selain kemenangan keempat dalam enam perlumbaan terakhir, sekali gus mengukuhkan rekodnya sebagai antara pelumba paling dominan dalam saingan musim ini. – AFP










