JAKARTA: Tiga disahkan maut manakala 36 lagi dilaporkan masih hilang selepas sebuah kilang pengeluaran gula-gula dan manisan di barat Jakarta terbakar kelmarin.
Pemilik kilang memaklumkan kira-kira 300 pekerja berada di premis berkenaan ketika syif pada hari kejadian.
Setakat petang ini, polis menemukan tujuh beg mayat di lokasi kebakaran, namun jumlah sebenar mangsa yang terkorban masih belum dapat dipastikan.
Pegawai pengenalpastian mangsa bencana polis, Wahyu Hidayati berkata, satu daripada beg mayat itu berkemungkinan mengandungi anggota badan beberapa individu, manakala keadaan mangsa yang terjejas teruk akibat kebakaran menyukarkan proses pengecaman secara fizikal.
Beliau berkata, proses pengenalpastian menggunakan sampel DNA daripada ahli keluarga dan barangan peribadi pekerja yang hilang dijangka mengambil masa antara dua hingga tiga minggu.
Sementara itu, pegawai Agensi Mencari dan Menyelamat tempatan, Rizky Dwianto berkata, empat mangsa turut dikejarkan ke hospital dan klinik kesihatan berhampiran susulan kejadian itu.
Polis Daerah Banten (Polda Banten) menubuhkan pos pengenalpastian mangsa di lokasi kebakaran di Kampung Leuwilimus, Cikande, Kabupaten Serang.
Ketua Perhubungan Awam Polda Banten, Maruli Hutapea berkata, pusat pengumpulan maklumat mangsa dan pusat pemeriksaan forensik mayat turut dibuka bagi membantu proses pengurusan serta pengecaman.
“Pasukan Pengenalpastian Mangsa Bencana (DVI) turut dikerahkan bagi menyokong proses berkenaan dengan penglibatan pakar forensik, pakar DNA dan pakar pergigian forensik,” katanya hari ini.
Sementara itu, agensi pengurusan bencana tempatan dalam satu hantaran di Instagram pada Ahad memaklumkan punca kebakaran masih dalam siasatan.
Kebakaran besar yang mengorbankan banyak nyawa bukan kejadian asing di Indonesia.
Disember tahun lalu, sekurang-kurangnya 22 orang maut selepas kebakaran yang dipercayai berpunca daripada letupan bateri dron memusnahkan sebuah bangunan tujuh tingkat di Jakarta.- AFP/AGENSI











