Dokumen tawaran baharu PN diselaras dengan BN

Dokumen tawaran baharu PN diselaras dengan BN

Peruntukan parlimen
AHMAD SAMSURI MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Parti-parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) perlu merangka agenda masing-masing untuk diselaraskan bersama rakan muafakat dalam Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dokumen tawaran baharu yang diselaraskan secara bersama itu penting bagi membentuk kerjasama kukuh di samping menitikberatkan aspek kebolehlaksanaannya.

“Saya mencadangkan supaya parti komponen dalam PN membangunkan agenda yang ingin dicapai. Masing-masing bina dahulu, kemudian kita duduk bersama dan selaraskan melalui kumpulan kerja serta kumpulan pemikir dalam waktu terdekat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Walaupun tempoh pilihan raya dilihat masih ada sekitar setahun lagi, ia boleh berlaku pada bila-bila masa pada 2027. Dokumen tawaran dibina bersama itu mestilah komprehensif, realistik, berpijak di alam nyata serta mempunyai sasaran yang boleh dinilai,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Ke-53 di sini, hari ini.

Malah, beliau menggariskan enam teras utama yang perlu diberi keutamaan, bermula dengan usaha meningkatkan pendapatan dan kuasa beli rakyat bagi merapatkan jurang kekayaan serta memastikan kejayaan ekonomi dapat dirasai di peringkat isi rumah.

Kata Ahmad Samsuri, usaha memudahkan rakyat berniaga dan mewujudkan peluang pekerjaan baharu turut perlu diberi penekanan susulan perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI) serta internet kebendaan (IoT) yang dilihat mengehadkan ruang penggajian konvensional.

“Empat lagi keutamaan yang perlu ditekankan ialah membina pentadbiran kerajaan yang bersih, cekap serta berintegriti, menyediakan sistem pendidikan yang menjamin masa depan rakyat, memastikan kesejahteraan keluarga yang lebih terjamin serta memperkukuhkan perpaduan dan pembangunan seimbang termasuk kemudahan infrastruktur dan capaian internet,” katanya.

Beliau turut menegaskan, setiap parti komponen perlu berani mengemukakan janji secara bertanggungjawab serta bersedia dinilai berdasarkan pelaksanaannya memandangkan rakyat kini menuntut tindakan nyata berbanding sekadar ucapan.

Beliau turut menggesa seluruh jentera parti supaya melangkah dengan penuh keyakinan dan bersikap terbuka dalam menyelesaikan perbezaan pandangan secara harmoni, selain memelihara kepercayaan sesama ahli menerusi tindakan harian demi memperkukuh kekuatan parti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini