Syarat singkir DAP bukan pendirian rasmi PN

Syarat singkir DAP bukan pendirian rasmi PN

DOMINIC LAU HOE CHAI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Syarat dikemukakan Pas supaya DAP disingkirkan sebelum parti itu mempertimbangkan penyertaan dalam Kerajaan Perpaduan bukan keputusan rasmi Perikatan Nasional (PN).

Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau berkata, ketetapan dasar yang menentukan hala tuju PN perlu mendapat persetujuan bersama, meskipun setiap parti komponen mempunyai pendekatan dan prinsip masing-masing.

Katanya, sebarang pendirian yang dibangkitkan secara berasingan oleh parti komponen tidak boleh dianggap sebagai keputusan yang mewakili keseluruhan gabungan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagi Gerakan, kita berada dalam gabungan PN. Dalam gabungan ini, kita ada strategi, peraturan dan prinsip masing-masing.

“Apa-apa yang sudah dibangkitkan oleh mana-mana parti komponen itu bukanlah keputusan keseluruhan PN,” katanya dalam sidang akhbar Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan Ke-53 di Menara PGRM di sini hari ini.

Sebelum ini, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu hanya akan mempertimbangkan penyertaan dalam Kerajaan Perpaduan diterajui Pakatan Harapan (PH) dengan syarat DAP dikeluarkan terlebih dahulu daripada gabungan berkenaan.

Dominic berkata, usaha memperkukuh kedudukan PN serta merangka strategi kemenangan perlu melalui perbincangan rasmi di peringkat Majlis Tertinggi PN dengan penyelarasan Pengerusi, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

“Bagi PN, pendirian atau pendekatan untuk memenangkan gabungan ini mestilah dibincangkan secara dalaman dalam PN bersama Pengerusi PN,” katanya.

Beliau menyifatkan pencapaian Gerakan dalam beberapa pilihan raya negeri (PRN) kebelakangan ini termasuk di Melaka sebagai sebahagian persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Katanya, perubahan landskap politik negara yang menyaksikan PRN dan PRU diadakan secara berasingan membuka lebih banyak ruang kepada parti komponen untuk mengadakan rundingan kerusi, selain memperkukuh persefahaman sesama rakan gabungan.

“PRN itu bukan destinasi akhir yang kita mahu capai kerana cabaran terbesar kita adalah PRU16. Proses ini penting sebagai persediaan jentera supaya kita tidak terlewat apabila tiba PRU nanti.

“Seperti di Melaka, kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) menjadikan ikatan kita lebih jelas. Semangat bertolak ansur antara PN dan BN akan diteruskan menggunakan model yang dipersetujui bersama seperti pengekalan kerusi penyandang asalkan ia mengguna pakai formula yang selaras,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini