Untuk hasilkan lagu yang hebat macam Gemilang, saya rasa sangat susah - Jaclyn Victor

Untuk hasilkan lagu yang hebat macam Gemilang, saya rasa sangat susah – Jaclyn Victor

JACLYN VICTOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi, Jaclyn Victor mengakui bukan mudah untuk menghasilkan lagu baharu yang mampu menandingi impak lagu hitsnya, Gemilang, yang merupakan karya yang terus sinonim dengan namanya sejak menjuarai Malaysian Idol lebih dua dekad lalu.

Jaclyn, 47, berkata, perkara itu pernah diperkatakan ketika dia merancang menghasilkan album dan menyedari bahawa agak sukar untuk mencari lagu yang mempunyai kekuatan setanding karya berkenaan.

“Sebelum ini, ketika saya mahu menghasilkan album, pernah juga timbul pandangan bahawa saya perlu mencari lagu yang lebih hebat daripada Gemilang. Saya menyanyikan lagu itu ketika berusia 25 tahun.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Untuk hasilkan lagu yang hebat macam Gemilang, saya rasa sangat susah. Lagu itu sangat sinonim dengan perjalanan saya dalam Malaysian Idol.

“Semua orang yang berada di Arena of Stars ketika itu dapat merasai apa yang kami lalui, jadi sangat sukar untuk mengembalikan perasaan dan semangat yang sama,” katanya.

Mengulas pengalaman merakamkan lagu berkenaan di studio selepas kemenangan tersebut, Jaclyn berkata, dia berdepan kesukaran untuk menyampaikan emosi sama seperti ketika membuat persembahan secara langsung.

“Ketika saya menyanyikan Gemilang di studio selepas menang, saya merasakan semangat dan kekuatannya tidak sampai seperti ketika membuat persembahan.

“Saya sudah biasa menyanyi bersama kumpulan pemuzik, jadi agak sukar apabila perlu menyanyikannya seorang diri di dalam studio,” katanya.

Untuk rekod, lagu ikonik Gemilang nyanyian Jaclyn ini telah dicipta pada tahun 2004 sempena pentas akhir musim pertama rancangan realiti Malaysian Idol.

Lagu yang menjulang nama Jaclyn ke persada seni tanah air ini merupakan hasil gubahan komposer tersohor Aubrey Suwito bersama sentuhan lirik puitis oleh Asmin Mudin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini