Jawatankuasa semak prosedur pangkalan udara akan ditubuh - Utusan Malaysia

Jawatankuasa semak prosedur pangkalan udara akan ditubuh

MOHAMED Khaled menyampaikan anugerah pada Hari Apresiasi Tabika Kemas Program Iqra dan Fardu Ain Tabika Kemas di Kota Tinggi, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Sebuah jawatankuasa menyemak dan meneliti semula semua prosedur pemeriksaan di pangkalan udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan ditubuhkan bagi mengelak kejadian aktiviti pengedaran dadah kembali berulang.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, jawatankuasa tersebut akan ditubuhkan selepas polis selesai menyiasat kes yang membabitkan pengedaran oleh sindiket menggunakan aset TUDM.

“Fungsi jawatankuasa tersebut termasuk siasatan lanjut sekiranya ada saki-baki anggota bersekongkol dengan sindiket terbabit yang menggunakan aset tentera untuk kegiatan berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita akan tubuhkan jawatankuasa sebab kita hendak semak sama ada ia kes-kes terpencil ataupun ia sudah menjadi budaya. Itu (juga) kita akan semak,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Hari Apresiasi Tabika Kemas Program Iqra dan Fardu Ain Tabika
Kemas di sini, hari ini.

Khamis lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor menyifatkan aktiviti pengedaran dadah menggunakan aset keselamatan negara amat membimbangkan dan mengarahkan tindakan tegas diambil tanpa mengira pangkat.

Beliau memberikan reaksi itu selepas, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan, lima pegawai TUDM antara 11 suspek ditahan di sekitar Lembah Klang dan Labuan, kerana disyaki terbabit aktiviti pengedaran 96.64 kg dadah dengan menggunakan aset pasukan itu.

Jelas Mohamed Khaled, pihaknya tidak akan berkompromi dalam perkara tersebut dan akan memberi kerjasama penuh bagi membantu siasatan pihak polis.

Ahli Parlimen Kota Tinggi itu berkata, isu tersebut boleh menjejaskan kesiapsiagaan kementerian dalam soal menjaga dan melindungi aspek pertahanan selain mencemar kedaulatan negara.

“Saya ingat kalau betul dadah dan sebagainya, hukumannya sangat berat. Seumur hidup ataupun hukum mati. Itu berani buat, berani tanggunglah,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini