MCA perlu perkukuh agenda ekonomi, pendidikan masyarakat Cina  - Utusan Malaysia

MCA perlu perkukuh agenda ekonomi, pendidikan masyarakat Cina 

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: MCA perlu memperkukuh usaha memperjuangkan kepentingan masyarakat Cina, khususnya dalam bidang ekonomi, pendidikan dan perniagaan bagi memastikan parti itu terus relevan dengan keperluan rakyat.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, MCA perlu memanfaatkan kekuatan yang dimiliki dalam sektor pendidikan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta jaringan dengan perusahaan tempatan untuk membantu masyarakat berkenaan.

Katanya, parti itu perlu bekerjasama dengan pihak industri bagi mengenal pasti kemahiran yang diperlukan serta peluang pekerjaan yang boleh ditawarkan kepada anak muda.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Gunakan kekuatan itu. Duduk dengan pihak industri untuk kenal pasti kemahiran yang mereka perlukan dan pekerjaan yang boleh mereka tawarkan,” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung Ke-4 Perwakilan Pusat MCA Penggal Ke-30 di Wisma MCA, di sini hari ini.

Zahid berkata, MCA juga perlu turun padang mendengar sendiri masalah yang dihadapi peniaga kecil, termasuk kekangan modal, kos perniagaan dan akses kepada pasaran.

Katanya, parti itu perlu mengemukakan cadangan yang boleh dilaksanakan bersama bagi membantu golongan berkenaan mengembangkan perniagaan mereka.

“Saya mahu MCA bawa cadangan yang boleh kita laksanakan bersama. Suara MCA kena kuat dalam memperjuangkan perkara ini,” katanya.

Beliau berkata, masyarakat Cina turut mahukan ekonomi yang lebih kukuh serta pendidikan yang mampu membuka peluang pekerjaan bergaji baik kepada generasi muda.

Katanya, MCA mempunyai kekuatan dalam bidang pendidikan menerusi Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan Universiti Tunku Abdul Rahman Malaysia (TAR UMT), selain pengalaman dalam TVET serta jaringan luas dengan perusahaan tempatan.

“Jadi, apabila rakyat mencari siapa yang akan memperjuangkan kepentingan mereka, saya mahu mereka tahu satu perkara. MCA akan sentiasa berada di pihak mereka,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini