Almiera mahu buktikan bakat tanpa bersandarkan nama Allahyarham Jins Shamsudin

Almiera mahu buktikan bakat tanpa bersandarkan nama Allahyarham Jins Shamsudin

ALMIERA ARYANNA PUTERA HANG JEBAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cucu kepada Allahyarham Tan Sri Jins Shamsudin, Almiera Aryanna tidak mahu bergantung pada nama besar arwah datuknya untuk menembusi bidang lakonan.

Almiera atau Almiera Aryanna Putera Hang Jebat, 14, berkata, dia mahu dikenali menerusi bakat sendiri meskipun mengakui pengaruh arwah datuknya menjadi antara sebab dia mula tertarik dengan bidang berkenaan.

“Tidak mahu. Kalau boleh, saya mahu orang mengenali saya menerusi bakat sendiri. Saya tidak mahu tumpang nama arwah datuk,” katanya ketika ditemui semasa sidang media tayangan filem pendek Diam yang Bergema di GSC, Mid Valley, pada Rabu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun, Almiera mengakui peluang berlakon yang diberikan pengarah berkaliber, Fauziah Datuk Ahmad Daud, meningkatkan keyakinannya untuk terus menceburi bidang lakonan.

“Saya terima peluang ini kerana sejak kecil saya mahu menjadi seperti datuk saya. Jadi, apabila mendapat peluang ini, saya mempunyai sedikit keyakinan,” katanya.

Mengulas lanjut, kata Almiera, dia akui berdepan cabaran tersendiri ketika berlakon dalam filem pendek arahan Ogy di mana julung kali dirinya beraksi di hadapan kamera.

“Antara perkara yang agak sukar adalah menghafal skrip. Saya juga mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengingati dialog sebelum melakonkan sesuatu babak dalam filem pendek itu.

“Saya turut menerima teguran dan dimarahi pengarah apabila lakonan tidak menepati kehendaknya. Tetapi saya okay sahaja kerana itu sebahagian daripada proses pembelajaran,” katanya.

Selepas membintangi filem pendek Diam Yang Bergema, Almiera berkata, dia masih belum menerima tawaran lakonan baharu, namun terbuka untuk kembali berlakon sekiranya diberikan peluang.

“Belum ada tawaran lagi, saya masih menunggu. Saya terbuka untuk berlakon, tetapi buat masa ini saya mahu memberikan tumpuan kepada pelajaran terlebih dahulu,” katanya.

Mengulas mengenai kesediaannya menerima watak yang memerlukan pelakon wanita membuka tudung, Almira berpendapat perkara itu bukan syarat wajib dalam lakonan kerana dia masih boleh menjayakan watak dengan penampilan berhijab.

“Tidak semestinya perlu membuka tudung untuk berlakon. Saya masih boleh berlakon dengan memakai tudung,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini