S P Setia perkukuh segmen industri di Semenyih

S P Setia perkukuh segmen industri di Semenyih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

S P Setia Berhad (S P Setia) memperkenalkan pembangunan industri terbaharunya, Setia EcoHill 2 Business Park di Semenyih, Selangor yang mencatat sambutan memberangsangkan apabila 85 peratus daripada keseluruhan 49 unit ditawarkan berjaya ditempah dalam tempoh sehari selepas pelancaran pada 31 Oktober lalu.

Pembangunan bernilai RM200 juta itu merangkumi 11 lot industri, 36 kilang berkembar dan dua kilang sesebuah, sekali gus memperluas segmen perniagaan dan perindustrian dalam pembangunan bandar terancang Setia EcoHill 2.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif S P Setia, Datuk Zaini Yusoff berkata, pembangunan taman perniagaan itu merupakan langkah strategik dalam evolusi Setia EcoHill 2 bagi memperkukuh peranannya sebagai lokasi pertumbuhan perniagaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, kemasukan aktiviti perindustrian ke dalam pembangunan bandar berkenaan bukan sahaja mempelbagaikan asas ekonominya, malah membuka peluang kepada syarikat untuk menubuhkan dan mengembangkan operasi.

“Tempahan awal ini mengukuhkan keyakinan kami terhadap peranan Business Park dalam fasa pertumbuhan seterusnya Setia EcoHill 2.

“Dengan membawa aktiviti perindustrian ke dalam kawasan pembangunan ini, kami mempelbagaikan asas ekonominya serta membuka peluang baharu kepada perniagaan untuk menubuhkan dan mengembangkan operasi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, pelaburan dalam aspek perhubungan dan infrastruktur turut menjadi pemangkin kepada pembangunan itu dengan menyediakan pilihan tanah industri serta kilang siap bina mengikut keperluan operasi perniagaan.

Setia EcoHill 2 Business Park dibangunkan di atas tanah pegangan bebas seluas 42.01 ekar dalam kawasan pembangunan Setia EcoHill 2 seluas 1,010 ekar yang mempunyai nilai pembangunan keseluruhan RM5 bilion.

Lot industri ditawarkan bermula daripada keluasan satu ekar dengan harga RM3.9 juta, membolehkan pemilik perniagaan membangunkan premis mengikut keperluan operasi masing-masing.

Selain itu, pembangunan berkenaan turut menawarkan 36 unit kilang berkembar dengan keluasan tanah 80 kaki x 160 kaki dan keluasan binaan kira-kira 6,560 kaki persegi pada harga bermula RM3.7 juta.

Dua unit kilang sesebuah pula dibangunkan di atas tanah melebihi 26,000 kaki persegi dengan keluasan binaan kira-kira 8,504 kaki persegi dan harga bermula RM5.8 juta.

Kilang berkenaan dirancang sebagai kawasan perindustrian berpagar dan berkawal dengan susun atur yang memaksimumkan penggunaan ruang tingkat bawah bagi aktiviti pembuatan, logistik dan pergudangan.

Pembangunan itu menyasarkan pemilik perniagaan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), termasuk pengusaha industri ringan, syarikat logistik, pengendali gudang serta pemain industri sedia ada yang mahu mengembangkan operasi atau memiliki premis sendiri.

Terletak dalam koridor pertumbuhan Semenyih-Beranang, taman perniagaan itu turut memberi kelebihan kepada syarikat yang ingin beroperasi berhampiran kelompok industri sedia ada, khususnya Taman Perindustrian Mahkota Beranang yang terletak bersebelahan.

Sementara itu, pembangunan Setia EcoHill 2 Business Park turut disokong pelaburan RM130 juta oleh S P Setia bagi meningkatkan akses perhubungan ke kawasan berkenaan.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM80 juta dilaburkan bagi pembinaan laluan penghubung LEKAS-EcoHill yang dibuka pada Ogos 2015, manakala RM50 juta lagi diperuntukkan untuk melanjutkan laluan berkenaan sejauh dua kilometer ke Setia EcoHill 2 pada 2018.

Setia EcoHill 2 boleh diakses menerusi Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Lebuhraya SILK, Jalan Semenyih dan Jalan Bangi Lama.

Menurut S P Setia, kedudukan strategik serta kemudahan infrastruktur itu membolehkan taman perniagaan berkenaan menawarkan akses kepada kelompok industri sedia ada, selain kemudahan yang terdapat dalam bandar terancang berkenaan.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini