ISTANBUL: Rangkaian terowong bawah tanah sepanjang 420 meter yang tersembunyi di bawah monumen bersejarah Hagia Sophia di Istanbul, Turkiye, berjaya didedahkan menerusi kerja-kerja pembersihan dan penggalian yang dijalankan di kawasan berkenaan, lapor saluran berita Euro News.
Penemuan itu turut melibatkan enam ruang bawah tanah dan sembilan terowong selepas hampir 3,000 tan tanah serta bahan timbusan dikeluarkan dari kawasan sekitar monumen berkenaan.
Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Turkiye, Mehmet Nuri Ersoy berkata, kerja-kerja itu merupakan sebahagian daripada program pemuliharaan besar-besaran Hagia Sophia.
Antara penemuan penting ialah struktur pengebumian bawah tanah yang dikenali sebagai hypogeum, selain tinggalan seni bina dan sistem saliran air purba yang berpotensi memberikan maklumat baharu mengenai sejarah Constantinople Byzantine.
Kerja-kerja penggalian turut mendedahkan lapisan seni bina pada kedalaman 1.5 meter di bawah paras lantai, yang dipercayai berkemungkinan berasal dari zaman lebih awal daripada pembinaan Hagia Sophia pada 532 hingga 537 Masihi.
Bagaimanapun, usia sebenar tinggalan tersebut masih dalam penelitian saintifik, manakala pihak berkuasa Turkiye sedang mempertimbangkan untuk membuka sebahagian terowong berkenaan kepada pengunjung.- AGENSI











