LONDON: Disangka sudah meninggal dunia, beberapa individu pernah mengejutkan petugas perubatan apabila tiba-tiba tersedar di dalam beg mayat atau bilik mayat, manakala ada juga yang sengaja membiarkan diri ditanam hidup-hidup demi mencipta rekod dunia.
Walaupun kedengaran seperti babak filem seram, kejadian seumpama itu pernah direkodkan dalam dunia nyata, sama ada akibat kesilapan pengesahan kematian, kemalangan atau aksi lagak ngeri yang dirancang.
Meskipun teknologi perubatan semakin maju, kesilapan mengisytiharkan seseorang meninggal dunia masih boleh berlaku, sekali gus menyebabkan individu terbabit tersedar ketika proses pengurusan mayat sedang dijalankan.
Lebih mengejutkan, sejarah turut merekodkan individu yang secara sukarela menjalani aksi ditanam hidup-hidup untuk mencipta rekod dan meraih publisiti, meskipun perbuatan itu amat berbahaya dan tidak wajar ditiru.
Antara kisah paling terkenal membabitkan seorang buruh warga Ireland, Mick Meaney yang pada 1968 menghabiskan masa selama 61 hari di dalam keranda yang ditanam di bawah tanah bagi memecahkan rekod dunia.
Aksi di sebuah tapak pembinaan di London itu mendapat liputan meluas media antarabangsa. Sepanjang tempoh berkenaan, Meaney dibekalkan udara, makanan dan air melalui sebatang paip sebelum akhirnya keluar dari keranda disambut sorakan orang ramai.
Bagaimanapun, kejayaan luar biasa itu tidak dimanfaatkan untuk menjana pendapatan seperti diharapkan. Meaney akhirnya pulang ke Ireland tanpa wang sebelum bekerja dengan Majlis Daerah Cork sehingga meninggal dunia pada 2003.
Seorang lagi individu yang menjadikan aksi ditanam hidup-hidup sebagai kerjaya ialah penghibur dari Amerika Syarikat (AS), Charles William ‘Bill’ White.
Dikenali sebagai ‘Mayat Hidup’, White menggunakan aksi berkenaan untuk mempromosikan perniagaan di seluruh negara dan dilaporkan sudah ditanam sebanyak 61 kali menjelang 1987, dengan jumlah keseluruhan dua tahun di bawah tanah.
Sepanjang kerjayanya, White pernah mengahwini teman wanitanya ketika wanita itu ditanam di sebuah pawagam pandu masuk. Beliau juga pernah terselamat selepas seekor ular sawa sepanjang enam kaki terjatuh ke dalam kerandanya.
Dalam satu lagi kejadian, White pernah diselamatkan selepas kehabisan bekalan udara ketika ditanam hidup-hidup. Beliau meninggal dunia pada usia 72 tahun pada 2006.
Sementara itu, kejadian individu yang disangka meninggal dunia tetapi tersedar di bilik mayat turut mencetuskan kejutan.
Minggu lalu, seorang lelaki yang dipercayai maut dalam kemalangan motosikal ngeri mengejutkan petugas apabila tiba-tiba tersedar di bilik mayat sebelum meminta sebatang rokok.
Lebih mencuri perhatian, lelaki itu turut dirakam meraikan ‘kebangkitannya’ dengan tubuh masih dipenuhi bedak putih yang digunakan dalam proses pengurusan mayat. – AGENSI









