NEW DELHI: Sayap pemuda parti pembangkang utama India, Parti Kongres mengadakan demonstrasi di pejabat syarikat teknologi Amerika Syarikat (AS), Meta bagi membantah tindakan menyekat akaun media sosial pemimpin mereka.
Menurut kenyataan parti itu pada Sabtu, ahli Pemuda Kongres mengadakan protes di luar pejabat Meta di Hyderabad dan Mumbai pada Jumaat.
Menerusi kenyataan yang disertakan dengan rakaman video demonstrasi itu, sayap pemuda berkenaan memberi amaran kepada Meta supaya tidak tunduk kepada tekanan politik kerajaan.
“Jika Meta mahu menjalankan perniagaan di India, syarikat itu mesti menghormati Perlembagaan negara ini dan bukannya akur kepada arahan sewenang-wenangnya kerajaan Parti Bharatiya Janata (BJP).
“Tiada syarikat berhak menentukan siapa dalam kalangan rakyat India yang boleh menggunakan hak kebebasan bersuara,” menurut kenyataan itu.
Parti Kongres mendakwa Meta pada 19 November lalu menyekat secara tidak sah akaun Instagram milik presiden sayap pemudanya serta seorang pegawai parti yang bertanggungjawab menyelia sayap berkenaan, atas arahan BJP.
Susulan tindakan itu, Pemuda Kongres memberi tempoh tujuh hari kepada Meta untuk menarik balik semua sekatan terhadap suara pembangkang, wartawan dan pencipta kandungan.
Setakat ini, Meta belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung dakwaan berkenaan.
Sementara itu, jurucakap kebangsaan BJP, Pradeep Bhandari menuduh ahli Parti Kongres sengaja menyasarkan pejabat syarikat berkenaan.
Beliau turut mendakwa kumpulan itu melakukan vandalisme dan merosakkan pejabat Meta di Hyderabad sebelum memuat naik rakaman perbuatan berkenaan ke media sosial.
“Inilah model Kongres iaitu merosakkan pejabat syarikat swasta. Sebab itulah ketika parti itu berkuasa, India berada dalam kelompok lima ekonomi paling rapuh,” katanya menerusi hantaran di platform X. – AGENSI









