Wei Chong-Kai Wun tamat penantian 14 tahun ke pentas akhir

Wei Chong-Kai Wun tamat penantian 14 tahun ke pentas akhir

MAN WEI CHONG-TEE KAI WUN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun menamatkan penantian 14 tahun Malaysia untuk menempah slot ke perlawanan akhir pada Kejohanan Badminton Terbuka Hong Kong di Arena Kai Tak, semalam.

Kejayaan beregu ranking No. 9 dunia itu hadir selepas menundukkan pasangan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty yang juga gandingan No. 6 dunia 21-18, 21-19 dalam separuh akhir yang berlangsung selama 41 minit.

Kali terakhir Malaysia mempunyai wakil di pentas akhir adalah pada edisi 2012, sekali gus menjadikan kejayaan Wei Chong-Kai Wun lebih bermakna selepas penantian panjang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kemenangan itu juga membolehkan mereka merapatkan jurang rekod pertemuan dengan Rankireddy-Shetty kepada 2-4, selepas sebelum ini sering berdepan kesukaran menandingi pasangan India berkenaan.

Kai Wun berkata, mereka sedar kelebihan utama lawan terletak pada kepantasan dan kekuatan, justeru tiga pukulan pertama menjadi antara perkara yang diberikan perhatian bagi mengelakkan pasangan India itu menguasai permainan.

“Kami tahu kepantasan dan kekuatan mereka sangat baik, apabila kami berjaya mengejar dan mengawal permainan, keyakinan juga semakin meningkat,” katanya sewaktu ditemu bual wakil BWF, semalam.

Mengulas pula peluang mereka untuk menutup musim dengan kemenangan, Kai Wun berkata, Terbuka Hong Kong merupakan kejohanan terakhir mereka tahun ini dan mahu memanfaatkan peluang berkenaan sebaik mungkin untuk menghasilkan keputusan terbaik.

Wei Chong pula memberitahu, keadaan gelanggang di Kai Tak Arena lebih baik berbanding venue sebelum ini kerana tidak terlalu berangin, sekali gus memudahkan mereka mengawal pukulan.

Jelasnya, dia tidak mahu terlalu memikirkan keputusan, sebaliknya memberi tumpuan kepada prestasi di gelanggang sambil percaya permainan yang baik mampu membawa kepada hasil positif.

“Prestasi kami minggu ini juga lebih baik berbanding minggu lalu. Pergerakan, komunikasi dan segala-galanya semakin baik, jadi saya rasa kami semakin meningkat,” ujarnya.

Wei Chong-Kai Wun bakal berdepan beregu No. 18 dunia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin dari Indonesia pada perlawanan akhir, hari ini.

Sementara itu, dalam aksi beregu campuran, pasangan No. 12 dunia, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai buat kesekian kali terpaksa akur kepada jaguh No. 1 dunia, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping dari China 17-21, 18-21 dalam masa 39 minit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini