PETALING JAYA: Pengendali DPMM FC, James McAllister memuji disiplin serta semangat juang tinggi anak buahnya selepas berjaya menundukkan Terengganu FC (TFC) 2-1 dalam aksi Liga Super, kelmarin.
Dua jaringan Dalberto di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak memastikan DPMM FC membawa pulang tiga mata berharga, manakala gol tunggal tuan rumah hadir menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Victor Ruiz.
McAllister berkata, pemainnya mempamerkan persembahan meyakinkan terutama pada babak pertama apabila berjaya mengikut perancangan taktikal yang disediakan, selain menunjukkan ketahanan mental untuk kekal dengan pendekatan permainan.
“Secara keseluruhan, saya fikir kami beraksi dengan sangat baik, terutama pada babak pertama, dan pemain menunjukkan ketahanan mental untuk terus berpegang kepada pelan permainan,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.
Menurutnya, beliau turut meminta pemain mengekalkan corak permainan ketika rehat dan arahan itu berjaya diterjemahkan apabila DPMM FC menghasilkan jaringan menerusi gerakan menarik selepas kembali beraksi.
Gol kedua Dalberto pula hadir menerusi aksi individu menarik yang membolehkan pasukan pelawat melebarkan kelebihan sebelum mengawal permainan dengan kemas, sekali gus memastikan kemenangan tidak terlepas.
McAllister turut menyifatkan sumbangan pemain gantian sebagai faktor penting dalam kemenangan itu, selain menegaskan kejayaan berkenaan hadir menerusi usaha kolektif seluruh pasukan.
“Saya fikir semua pemain memainkan peranan masing-masing, dan ia persembahan di tempat lawan yang cukup profesional serta berdisiplin untuk mendapatkan tiga mata penting,” katanya.
Kemenangan itu turut meningkatkan keyakinan DPMM FC selepas melalui detik sukar sebelum ini, selain memperlihatkan karakter serta semangat juang pemain yang mampu menjadi bekalan untuk menghadapi cabaran seterusnya.
Mengulas persiapan menentang Kelantan di laman sendiri selepas ini, McAllister mahu pemain menikmati kemenangan berkenaan terlebih dahulu sebelum kembali memberi tumpuan kepada latihan dan persiapan dengan penuh disiplin. – UTUSAN











