LONDON: Bekas juara heavyweight dunia, Anthony Joshua memberi bayangan mahu kembali kepada gaya agresif yang pernah menjadikannya antara peninju paling digeruni dalam divisyen heavyweight apabila berdepan Tyson Fury pada 11 Disember ini.
Joshua mengakui perubahan pendekatan diperlukan bagi menghadapi Fury, dengan peninju berusia 37 tahun itu kini memberi tumpuan kepada usaha menamatkan pertarungan menerusi knockout (KO) dalam pertembungan dua jaguh Britain berkenaan di Cardiff, Wales.
Selepas beberapa tahun lebih cenderung menggunakan pendekatan taktikal dan mengutamakan strategi, Joshua kini mahu memanfaatkan semula kekuatan fizikal yang menjadi identitinya pada awal karier.
“Sesuai dengan gaya pertarungan yang saya mahu dan apa yang ingin saya laksanakan, saya perlu melakukan beberapa perubahan. Saya berbincang dengan jurulatih, Ben Davison dan Sean Murphy, selain kami turut mengubah lokasi latihan. Saya fikir ia akan menjadi sesuatu yang sangat menarik.
“Latihan berjalan lancar, tetapi memang sukar. Saya pakar knockout dan, jika bercakap secara jujur, itulah yang saya sasarkan. Saya mahu masuk ke gelanggang dan tewaskan lawan saya,” katanya.
Joshua melihat kemenangan menerusi KO sebagai antara laluan terbaik untuk menewaskan Fury, yang terkenal dengan keupayaan mengawal tempo pertarungan serta mengelak serangan lawan.
Pertarungan yang dinanti-nantikan itu dijadual berlangsung di Principality Stadium, Cardiff, pada 11 Disember, selepas kedua-dua pihak menolak beberapa cadangan lokasi lain termasuk Madison Square Garden, New York.
Joshua kini kembali bekerjasama dengan Davison serta jurulatih amatur, Sean Murphy, dalam persiapan menghadapi Fury yang dijangka menjadi antara pertarungan paling dinanti dalam arena tinju heavyweight. – AGENSI











