KUALA NERUS: Minat mendalam terhadap ayam ratu mendorong seorang peminat sanggup melabur RM21,000 untuk mendapatkan seekor ayam baka istimewa dari Thailand yang pernah merangkul gelaran Best of the Best sebanyak 15 kali dalam pertandingan di negara itu.
Bagi sesetengah orang, harga itu mungkin dianggap terlalu tinggi untuk seekor ayam. Namun, bagi penggemar ayam ratu, nilainya bukan sekadar berdasarkan kecantikan fizikal, sebaliknya turut mengambil kira keistimewaan baka, susur galur dan rekod kecemerlangan dalam pertandingan.
Lebih menarik, ayam berusia lapan tahun itu kini tidak lagi aktif menyertai pertandingan, sebaliknya dijadikan baka induk bagi menghasilkan generasi baharu yang mewarisi keistimewaan fizikal dan penampilannya.
Pengerusi Kelab Mongkut Terengganu, Rosshairi Izwan Sulaiman, 38, berkata, ayam berkenaan dibeli daripada seorang pemilik di Thailand berdasarkan rekod kecemerlangannya yang pernah meraih gelaran Best of the Best sebanyak 15 kali.
Menurutnya, meskipun ayam itu tidak lagi sesuai dibawa bertanding kerana faktor usia, baka keturunannya masih mempunyai nilai tinggi dalam kalangan peminat yang mengusahakan pembiakan ayam ratu.
“Apabila ayam sudah berusia, kita lebih fokus kepada pembiakan. Anak-anaknya pula mempunyai potensi mewarisi keistimewaan baka induk termasuk bentuk badan, warna bulu dan penampilan,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini.
Minat bercambah sejak 2017
Rosshairi berkata, minat terhadap ayam ratu mendorong dia bersama beberapa rakan menubuhkan Kelab Mongkut Terengganu pada 2017 bagi menghimpunkan peminat baka ayam berkenaan.
Katanya, kelab itu kini mempunyai kira-kira 14 ahli yang bukan sahaja berasal dari Terengganu, malah turut melibatkan peminat dari Melaka dan Pahang.
Menurutnya, komuniti itu aktif berkongsi maklumat berkaitan penjagaan, pembiakan dan penyertaan pertandingan menerusi pertemuan serta kumpulan WhatsApp.
“Kalau ada pertandingan di negeri lain seperti Pahang, Johor atau Selangor, kita akan maklumkan kepada ahli lebih awal supaya mereka boleh membuat persediaan dan memilih ayam yang sesuai untuk dibawa bertanding.
“Bukan semua ayam boleh masuk pertandingan kerana perlu berada dalam keadaan sihat, mempunyai bulu sempurna dan tidak mengalami kecacatan pada anggota badan,” katanya.
Dia berkata, pertandingan ayam ratu bukan sekadar menilai keindahan warna bulu, sebaliknya juri akan meneliti kira-kira 20 aspek termasuk bentuk paruh, muka, badan, kaki dan ekor.
Penjagaan rapi, kos bukan sedikit
Menurut Rosshairi, memelihara ayam ratu memerlukan komitmen tinggi kerana pemilik perlu memastikan kebersihan reban, pemakanan seimbang serta pemberian vitamin dan makanan tambahan bagi mengekalkan kesihatan dan kualiti bulunya.
Katanya, kos penjagaan bagi 10 ekor ayam boleh mencecah antara RM200 hingga RM500 sebulan bergantung kepada keperluan dan keadaan haiwan berkenaan.
“Pemakanan ayam bukan sekadar padi, sebaliknya turut diberikan dedak yang membantu pembentukan badan dan bulu.
“Selain itu, vitamin dan makanan tambahan juga penting untuk memastikan ayam sentiasa sihat, terutama apabila hendak menyertai pertandingan,” katanya.
Tambahnya, ayam ratu turut memerlukan sangkar khas yang bersih dan selesa serta perlindungan daripada gangguan nyamuk bagi mengelakkan masalah kesihatan.
Kebersihan sangkar juga perlu dijaga setiap hari termasuk menukar bekas makanan dan minuman serta memastikan persekitarannya sentiasa bersih.
Perlu ada chemistry dengan pemilik
Dalam pada itu, Rosshairi berkata, keistimewaan ayam ratu bukan hanya terletak pada kecantikan fizikal, malah hubungan rapat antara haiwan itu dengan pemilik turut menjadi antara aspek penting ketika pertandingan.
Katanya, ayam perlu dilatih supaya tidak terlalu liar atau takut apabila dipegang kerana tingkah laku dan pergerakannya turut dinilai juri.
“Ada kategori pertandingan yang menilai cara ayam berjalan, berpusing dan menunjukkan penampilannya. Sebab itu ayam perlu ada chemistry dengan tuannya.
“Kadang-kadang pemilik turut memberikan nama kepada ayam masing-masing supaya mudah dikenali dan lebih rapat ketika proses latihan,” katanya.
Dia berkata, bentuk ekor juga antara aspek yang diberikan perhatian dan perlu dilatih supaya kelihatan kemas, tegak serta seimbang dengan struktur badan.
Menurutnya, ayam yang memiliki rupa menarik sekalipun tidak akan layak bertanding sekiranya berada dalam keadaan tidak sihat.
Ada 14 variasi warna
Mengulas keistimewaan ayam ratu, Rosshairi berkata, baka berkenaan mempunyai kira-kira 14 variasi warna dengan setiap satunya mempunyai tarikan tersendiri.
Antara yang menjadi perhatian peminat adalah warna putih atau dikenali sebagai Kai Shi dalam bahasa Thailand, selain variasi hijau dan LSK.
Katanya, ayam putih yang dibawanya ketika ditemui itu merupakan antara baka terbaharu yang mencuri perhatian selepas meraih gelaran juara Piala Raja Kelantan pada minggu sebelumnya.
Menurutnya, kebanyakan baka induk berkualiti tinggi diperoleh dari Thailand bagi menghasilkan anak ayam dengan ciri fizikal dan warna bulu yang menepati kehendak pertandingan.
“Kalau hendak menghasilkan baka yang cantik, kita perlu memilih induk jantan dan betina daripada keturunan yang mempunyai rekod kemenangan.
“Anak ayam yang dihasilkan kemudian dipilih berdasarkan bentuk badan, ketinggian kaki, panjang ekor dan warna bulu,” katanya.
Tambahnya, seekor ayam jantan dewasa yang menyertai pertandingan lazimnya perlu mempunyai berat sekurang-kurangnya tiga kilogram selain berusia lapan bulan ke atas.
Walaupun kini hanya mempunyai kira-kira lima ekor ayam untuk kegunaan sendiri, Rosshairi berkata, kelab itu turut aktif dalam bidang pembiakan dengan bantuan rakan-rakan yang memiliki baka juara.

Minat diwarisi daripada arwah datuk
Minat terhadap ayam ratu bukan hanya dalam kalangan golongan dewasa, malah turut menarik perhatian anak muda yang menjadikan hobi berkenaan sebahagian daripada kehidupan mereka.
Bagi Muhammad Aiman Mohd. Zawawi, 24, dari Kampung Pengkalan Berangan, Marang, minat memelihara ayam bermula sejak kecil apabila sering mengikut arwah datuknya bermain ayam.
Katanya, arwah datuknya turut menghadiahkan seekor ayam kepadanya sekali gus menjadi titik permulaan kepada minat yang masih diteruskan sehingga kini.
“Sejak kecil saya sudah minat ayam kerana selalu ikut arwah datuk. Daripada situ saya mula mengenali ayam ratu dan tertarik untuk memeliharanya sendiri,” katanya.
Pelajar semester akhir Sijil Kemahiran Malaysia dalam bidang Jahitan Pakaian Lelaki di Wakaf Tapai itu berkata, dia kini mempunyai kira-kira 20 ekor ayam ratu, termasuk 10 ekor yang berpotensi dibawa menyertai pertandingan.
Antara ayam kesayangannya adalah seekor ayam jantan berusia lapan bulan yang dibeli pada harga RM500 ketika berusia empat bulan daripada pembekal ayam import Thailand.
Ayam yang diberi nama Rico itu sudah menyertai dua pertandingan dan berjaya meraih gelaran juara termasuk Piala YB di Setiu serta satu pertandingan di Kelantan. – UTUSAN











