KUALA KANGSAR: Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi meletakkan sasaran kembali menaiki podium pada Kejohanan Olahraga Asia di China, Mei tahun depan selepas hampir pulih sepenuhnya daripada kecederaan.
Atlet berusia 22 tahun itu berkata, tahap pemulihannya kini mencapai 90 peratus dan dijangka kembali menjalani latihan sepenuhnya dalam tempoh empat minggu lagi.
Katanya, Kejohanan Olahraga Asia menjadi pentas penting untuk membuktikan kemampuan dirinya selepas kali terakhir menyertai kejohanan itu pada 2023 dengan menamatkan saingan di tempat keempat.
“Saya melihat Kejohanan Olahraga Asia sebagai pentas terbaik untuk kembali meletakkan nama di podium.
“Sasaran saya pada edisi 2027 adalah untuk kembali menaiki podium dan pencapaian itu diharap dapat memberikan momentum positif menjelang Sukan SEA dan Kejohanan Olahraga Dunia,” katanya ketika ditemui selepas Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat-pingat Negeri Perak sempena Ulang Tahun Keputeraan ke-70 Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, di sini hari ini.
Muhammad Azeem antara empat atlet yang menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK) bersama pelumba berbasikal trek para wanita negara, Nur Suraiya Muhamad Zamri; penyerang skuad hoki kebangsaan, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal dan ratu 400 meter negara, Shereen Samson Vallabouy.
Mengulas persiapan menghadapi musim 2027, Azeem berkata, keutamaan utamanya adalah memastikan dirinya bebas daripada kecederaan memandangkan banyak kejohanan besar menanti sepanjang tahun berkenaan.
Menurutnya, selain Kejohanan Olahraga Asia, beliau turut menyasarkan untuk beraksi pada Sukan SEA, Sukan Universiti Dunia dan Kejohanan Olahraga Dunia.
“Matlamat terbesar saya adalah untuk kekal bebas daripada kecederaan kerana 2027 mempunyai banyak kejohanan utama,” katanya.
Dalam pada itu mengulas mengenai pingat yang diterima daripada Sultan Nazrin, beliau menyifatkan ia sebagai penghargaan yang cukup bermakna selain menyuntik motivasi untuk kembali mencipta lebih banyak kejayaan.
“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan pengiktirafan ini dan ia menjadi dorongan untuk saya lebih bermotivasi untuk kembali pada 2027 sekali gus mewarnai arena sukan olahraga negara dengan lebih banyak pencapaian,” katanya.-UTUSAN











