BANGI: Selepas berjaya mengekalkan teraju pentadbiran Melaka, Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh, mencatat satu lagi pencapaian peribadi apabila menamatkan pengajian Ijazah Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Lebih membanggakan, penyelidikan lebih dua tahun setengah itu bukan sekadar memenuhi keperluan akademik, malah menjadi asas kepada pelaksanaan projek perintis Kampung Digital di Melaka.
Ab Rauf berkata, kajian berkenaan memfokuskan pembangunan sistem alamat digital bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat, khususnya penduduk di kampung tradisional.
Beliau berkata, idea penyelidikan itu tercetus daripada masalah penduduk kampung tradisional yang terpaksa berkongsi satu alamat dengan 500 hingga 1,000 orang, sekali gus menyukarkan urusan rasmi kerajaan dan penyampaian maklumat kepada kumpulan sasaran.
Katanya, penggunaan sistem alamat berasaskan perbatuan sejak selepas merdeka menyebabkan maklumat serta urusan rasmi kerajaan tidak dapat disampaikan secara tepat kepada penduduk.
“Di kampung tradisional di Melaka dan mungkin juga seluruh Malaysia, ada lebih 500 orang berkongsi satu alamat kerana sistem alamat perbatuan yang digunakan sejak selepas merdeka tidak pernah diubah.
“Keadaan ini menyebabkan urusan kerajaan untuk menyampaikan maklumat dan urusan rasmi tidak sampai kepada sasaran.
“Jadi, saya membuat kajian supaya rumah di kampung tradisional diberikan nombor rumah serta jalan yang didigitalkan bagi memastikan sistem penyampaian kerajaan lebih berkesan,” katanya ketika ditemui media selepas Istiadat Konvokesyen UKM Ke-54, di sini, hari ini.
Ab Rauf berkata, hasil penyelidikan itu membolehkan Melaka menjadi negeri perintis pelaksanaan Kampung Digital menerusi pemberian nombor rumah dan alamat digital berserta kod QR kepada penduduk kampung tradisional.
“Alhamdulillah, kita berjaya mencapai apa yang diharapkan apabila semua rumah kampung tradisional sudah diberikan nombor dan alamat digital berserta kod QR.
“Saya berharap Kampung Digital yang dikaji dan dijadikan bahan akademik bersama UKM ini bukan sahaja memberi manfaat kepada Melaka, malah boleh dimanfaatkan dalam pentadbiran kerajaan di seluruh Malaysia supaya rakyat menerima maklumat dengan tepat dan cepat,” katanya.
Mengulas cabaran melanjutkan pengajian ketika memikul tanggungjawab sebagai Ketua Menteri, beliau mengakui terpaksa mengorbankan masa lebih dua tahun setengah bagi memastikan penyelidikan berkenaan dapat disiapkan.
“Saya terpaksa mengorbankan masa lebih dua tahun setengah untuk menjalankan kajian ini bersama penyelia dan pensyarah UKM.
“Kajian ini dibuat secara terperinci dan mendapat maklum balas yang baik. Setiap bulan, saya memperuntukkan empat jam untuk mengikuti pengajian DBA di UKM,” katanya.
Beliau berkata, ilmu dan hasil penyelidikan itu penting untuk dijadikan rujukan generasi akan datang, khususnya dalam mendepani perubahan dunia yang semakin berteraskan teknologi digital.
“Kita tidak boleh terus berada dalam keadaan konvensional seperti selepas merdeka. Pengurusan masyarakat mesti berubah mengikut keperluan generasi masa depan supaya lebih tersusun dan terancang.
“Melalui kajian ini, kita dapat memastikan sistem penyampaian pentadbiran kerajaan sampai terus kepada sasaran termasuk ke rumah penduduk yang sebelum ini berkongsi satu alamat dengan 500 hingga 1,000 orang,” katanya.
Ab Rauf antara 14,311 graduan yang diraikan sempena Istiadat Konvokesyen UKM Ke-54 yang berlangsung bermula hari ini hingga 30 November ini.










