Tuntut hak Sarawak, jangan jejas kepentingan Persekutuan - Utusan Malaysia

Tuntut hak Sarawak, jangan jejas kepentingan Persekutuan

FADILLAH YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perjuangan menuntut hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu mengambil kira kepentingan negeri itu dan Persekutuan bagi memastikan keseimbangan dalam hubungan kedua-dua pihak.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pendekatan terbaik adalah mengoptimumkan hak yang sewajarnya diperoleh Sarawak menerusi rundingan serta kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, tuntutan hak Sarawak tidak seharusnya menjejaskan kepentingan Persekutuan kerana Malaysia merupakan sebuah negara yang berasaskan sistem tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita tidak boleh menuntut sehingga merosakkan kepentingan Persekutuan, sebab kita sebuah persekutuan. Maknanya kita kena mengimbangi kepentingan kedua-duanya,” katanya ketika sesi dialog sempena Program Abas Orang Kamek (AOK) 2026 Zon Lembah Klang di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.

Fadillah menjawab soalan peserta mengenai hala tuju Sarawak serta perjuangan mendapatkan hak negeri di bawah MA63.

Beliau berkata, kerjasama antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan diperlukan memandangkan terdapat urusan yang melibatkan bidang kuasa masing-masing.

Sebagai contoh, katanya, rancangan penjualan tenaga dari Sarawak ke Singapura dan Semenanjung yang melibatkan laluan melalui perairan Indonesia memerlukan kebenaran negara berkenaan menerusi Kerajaan Persekutuan.

Selain itu, ujarnya, usaha sedang dijalankan supaya Yayasan Sarawak atau kerajaan negeri mempunyai bangunan sendiri di Kuala Lumpur bagi menyediakan penginapan kepada pelajar serta anak Sarawak yang datang mendapatkan rawatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini