KUALA LUMPUR: Stigma Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pilihan kedua perlu dipadamkan bagi mengangkat bidang itu sebagai pilihan kerjaya utama.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, graduan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) perlu memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan teknologi negara dengan menjadi inovator, pemegang paten dan peneroka industri masa depan, khususnya dalam era kecerdasan buatan (AI).
Beliau berkata, UniKL telah melahirkan lebih 100,000 graduan teknikal dengan kadar kebolehpasaran melebihi 95 peratus manakala alumninya berkhidmat di lebih 20 negara.
“Stigma bahawa TVET ialah pilihan kedua mesti dipadamkan.
“UniKL telah melahirkan lebih 100,000 graduan teknikal dengan kadar kebolehpasaran melebihi 95 peratus dan alumninya berkhidmat di lebih 20 negara. Ukuran akhirnya ialah kerjaya profesional dan gaji yang bermaruah (dignified wages),” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Ke-23 UniKL 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.
Bertemakan ‘Melahirkan Pencipta Teknologi, Mengangkat Mobiliti Sosial, Membina Masa Depan Negara’, turut berangkat ialah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Seramai 8,147 graduan, termasuk 125 graduan antarabangsa dari 39 negara diraikan pada majlis berkenaan.
Daripada jumlah itu, 60 graduan menerima ijazah doktor falsafah, 178 ijazah sarjana, 5,326 ijazah sarjana muda, 2,570 diploma dan 13 sijil profesional.
Jumlah itu turut merangkumi 64 graduan Program Huffaz Teknologis serta 44 graduan sulung daripada lapan program baharu.
Pada majlis sama, bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UniKL yang kedua bagi tempoh 2005 hingga 2013, Prof. Datuk Dr. Abdul Hakim Juri dianugerahkan gelaran Profesor Emeritus.
Ahmad Zahid berkata, graduan UniKL juga perlu beralih daripada sekadar pengguna teknologi kepada pemilik teknologi dengan menjadi inovator, pemegang paten, technopreneur dan pemilik industri masa depan.
“Graduan UniKL jangan sekadar memasang cip atau menyelenggara mesin. Jadilah inovator, pemegang paten, technopreneur dan pemilik industri masa depan,” katanya.
Beliau berkata, pendidikan juga perlu menjadi pemangkin mobiliti sosial, khususnya dalam mengubah kehidupan graduan dan keluarga mereka terutama anak bumiputera, luar bandar dan B40.
“Contohnya apabila anak penoreh getah menjadi jurutera penerbangan, itulah pendidikan yang memutuskan kitaran kemiskinan,” katanya. – UTUSAN










