LUMUT: Seorang tekong bersama tiga kru warga Thailand ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak selepas vesel nelayan tempatan (VNT) yang dikendalikan mereka disyaki melanggar syarat sah lesen, Khamis lalu.
Pengarahnya, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, vesel nelayan Kelas C itu dikesan melakukan aktiviti perikanan di kawasan kurang daripada 15 batu nautika dari daratan terhampir.
Katanya, penahanan itu dilakukan hasil rondaan penguatkuasaan menerusi Op Sayong, Op Pintas dan Op Tiris 4.0 yang mengesan sebuah bot nelayan dalam keadaan mencurigakan kira-kira pukul 8.40 pagi.
“Vesel itu ditahan kira-kira pukul 9 pagi pada kedudukan lebih kurang 10 batu nautika barat laut Pulau Talang, Perak.
“Pemeriksaan mendapati vesel berkenaan dikendalikan seorang tekong bersama tiga kru yang kesemuanya warga Thailand,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, vesel berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana beroperasi kurang daripada had 15 batu nautika dari daratan terhampir, sekali gus melanggar syarat sah lesen yang ditetapkan.
Katanya, kesemua kru yang ditahan berusia antara 31 hingga 61 tahun.
“Vesel bersama kesemua kru kemudian diiring ke jeti sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya.-UTUSAN











