KUALA LUMPUR: Seorang penunggang motosikal maut selepas dirempuh sebuah kereta dipandu lelaki warga Libya yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah di persimpangan Jalan Jelatek, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, mangsa lelaki tempatan berusia 43 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Superintendan Suffian Abdullah berkata, siasatan awal mendapati mangsa sedang menunggang motosikal dari arah Taman Keramat menghala ke Setiawangsa ketika lampu isyarat di laluannya berwarna hijau.
“Sebuah kereta dipandu lelaki warga Libya berusia 32 tahun dari arah Wangsa Maju dipercayai gagal mematuhi lampu isyarat merah sebelum melanggar motosikal mangsa.
“Ujian saringan alkohol menggunakan terhadap pemandu tersebut menunjukkan bacaan sifar, manakala ujian saringan air kencing negatif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemandu terbabit telah ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi sementara permohonan reman akan dibuat hari ini untuk membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.
Orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.











