D’MASIV gegar Kuala Lumpur, Noh Salleh dan Aziz Harun tampil istimewa - Utusan Malaysia

D’MASIV gegar Kuala Lumpur, Noh Salleh dan Aziz Harun tampil istimewa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kumpulan pop popular Indonesia, D’MASIV, bakal menghangatkan pentas Mega Star Arena, Kuala Lumpur menerusi konsert jelajah D’MASIV Asia Home Run pada 20 November 2026, pukul 8 malam, dengan menampilkan dua penyanyi undangan, Noh Salleh dan Aziz Harun.

Konsert anjuran Neptunes Presents dengan kerjasama Antara Suara itu menjanjikan pengalaman muzik istimewa menerusi gabungan karya popular D’MASIV bersama sentuhan dua penyanyi dari Malaysia dan Brunei berkenaan.

Lebih menarik, Kuala Lumpur menjadi destinasi keempat dalam siri jelajah Asia kumpulan itu selepas Taiwan, Hong Kong dan Singapura, sebelum menutup tirai persembahan di Jakarta, Indonesia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengarah Projek Neptunes Presents, Shamsir Firdaus Shariman berkata, pemilihan Noh dan Aziz sebagai artis undangan dibuat sendiri oleh pihak pengurusan D’MASIV bagi memberikan kelainan kepada persembahan, selain mencipta pengalaman berbeza buat peminat.

Katanya, vokalis D’MASIV, Rian Ekky Pradipta, bakal bergandingan dengan Noh menerusi beberapa lagu popular termasuk Angin Kencang, Ingin Lekas Memelukmu Lagi dan Di Bawah Langit Yang Sama.

“Rian juga akan berduet dengan Aziz menerusi lagu popular D’MASIV, Merindukanmu, khusus buat peminat yang hadir pada malam konsert berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Kolaborasi berkenaan dijangka menjadi antara tarikan utama konsert, sekali gus memberi peluang kepada peminat menyaksikan gabungan vokal dan identiti muzik berbeza dalam satu persembahan.

Ditubuhkan pada 2003, D’MASIV terus mengukuhkan kedudukan sebagai antara kumpulan pop Indonesia yang berpengaruh di rantau ini.

Kumpulan itu dianggotai Rian selaku vokalis, Dwiki Aditya Marsall dan Nurul Damar Ramadan (gitar), Rayyi Kurniawan Iskandar Dinata (bass) serta Wahyu Piadji (dram).

Mengulas persiapan konsert, Shamsir berkata, segala perancangan telah dilakukan dengan teliti oleh pihak penganjur bersama D’MASIV dan artis undangan bagi memastikan kelancaran persembahan.

Menurutnya, D’MASIV tidak sabar untuk kembali bertemu peminat di Malaysia yang disifatkan sebagai rumah kedua mereka berikutan sokongan luar biasa sejak awal kemunculan kumpulan itu.

“Mereka amat merindui suasana konsert di Malaysia, terutama kehangatan dan tenaga yang ditunjukkan peminat setia mereka, Masivers.

“Konsert kali ini bukan sekadar persembahan muzik biasa, sebaliknya pengalaman istimewa yang diharapkan dapat meninggalkan kenangan manis buat semua yang hadir,” katanya.

Tambah beliau, persembahan selama kira-kira dua jam itu bakal menampilkan rangkaian lagu popular selain karya baharu D’MASIV.

Antara lagu yang dijangka menghiburkan penonton termasuk Pergilah Kasih, Jangan Menyerah dan Cinta Ini Membunuhku, selain beberapa karya lain yang cukup dekat di hati peminat.

Gabungan lagu malar segar, persembahan penuh emosi serta kolaborasi eksklusif bersama Noh dan Aziz dijangka menjadikan konsert D’MASIV Asia Home Run di Kuala Lumpur antara acara muzik yang dinanti-nantikan tahun ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini