Selangor mahu pelaburan asing perkasa bakat, perusahaan tempatan

Selangor mahu pelaburan asing perkasa bakat, perusahaan tempatan

NG Sze Han ketika menyampaikan ucaptama sempena Anugerah Penghargaan Pelabur Selangor (SIAA) 2025 di sini semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selangor mahu memastikan kemasukan pelaburan asing diterjemahkan kepada pembangunan bakat tempatan dan pengukuhan perusahaan Malaysia, selaras dengan usaha meningkatkan nilai tambah ekonomi negeri.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri menetapkan hala tuju supaya setiap kerjasama global yang dijalin bukan sahaja memberi manfaat kepada pelabur, malah membuka lebih banyak peluang kepada tenaga kerja dan syarikat tempatan.

Beliau berkata, Selangor mempunyai kelebihan menerusi tenaga kerja berkemahiran tinggi, menguasai pelbagai bahasa serta menerima latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang mampu memenuhi keperluan industri berteknologi tinggi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kelebihan ini membolehkan pelabur mempercepatkan pelaksanaan operasi, selain membangunkan rangkaian bekalan yang lebih tangkas dan berdaya tahan terhadap gangguan ekonomi.

“Merentasi setiap sektor, mandat kerajaan negeri adalah jelas iaitu kerjasama global mesti memperkasa bakat tempatan dan perusahaan Malaysia.

“Bagi pelabur, akses kepada tenaga kerja berkemahiran tinggi, multilingual dan terlatih dalam TVET bukan sahaja mempercepatkan masa untuk memulakan operasi, malah membina rangkaian bekalan yang tangkas serta berdaya tahan,” katanya.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han pada Anugerah Penghargaan Pelabur Selangor (SIAA) 2025 semalam. 

Bagi merealisasikan matlamat itu, Selangor memberi tumpuan kepada pembangunan sektor bernilai tinggi di bawah Rancangan Selangor Kedua (RS-2), termasuk semikonduktor, aeroangkasa, mobiliti elektrik dan ekonomi digital.

Antara inisiatif utama ialah peluasan Fasa 2 Malaysia IC Design Park yang dijangka menjana 800 peluang pekerjaan dalam bidang kejuruteraan lanjutan.

Selangor turut memperkukuh ekosistem aeroangkasa menerusi Selangor Aeropark dan Pelan Penjanaan Semula Lapangan Terbang Subang, selain membangunkan Lembah Beringin High-Tech Auto Valley bagi memacu industri mobiliti elektrik.

Usaha mempercepat penggunaan teknologi digital pula dilaksanakan menerusi Pelan Tindakan Masa Depan Digital 2030.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad, Datuk Hasan Azhari Idris berkata, keutamaan negeri bukan sekadar menarik pelaburan, sebaliknya membangunkan ekosistem industri yang bersepadu bagi membolehkan perniagaan berkembang, berinovasi dan bersaing di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, Selangor turut memanfaatkan kedudukannya dalam ASEAN untuk menjadi pintu masuk strategik kepada pelaburan dan kerjasama perniagaan serantau.

“Menerusi penglibatan antarabangsa serta inisiatif rentas sempadan seperti SIBS@ASEAN, negeri itu berhasrat memperkukuh hubungan perniagaan, memudah cara kerjasama strategik dan membuka peluang kepada syarikat untuk mengembangkan operasi dalam rantau ini,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini