Kanak-kanak perlu RM61,201 pindah sum-sum tulang

Kanak-kanak perlu RM61,201 pindah sum-sum tulang

MUHAMMAD Hariz Raif Mohd. Hanafi memerlukan bantuan dana untuk menjalani prosedur pemindahan sum-sum tulang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang menghidap kanser darah memerlukan bantuan orang ramai bagi mengumpul dana RM61,201 untuk menjalani prosedur pemindahan sum-sum tulang pada Disember ini.

Muhammad Hariz Raif Mohd Hanafi disahkan menghidap Juvenile Myelomonocytic Leukemia (JMML) dan telah menjalani 16 kitaran kemoterapi sejak Julai tahun lalu bagi mengawal perkembangan sel kanser.

Pengerusi Friends of Childhood Cancer at Northern (FOCCAN), Maznah Tayib berkata, kanak-kanak itu kini menjalani kitaran kemoterapi ke-17 sebagai persediaan sebelum menjalani prosedur pemindahan sum-sum tulang di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, keputusan ujian sum-sum tulang pada September lalu bagaimanapun mendapati sel kanser masih aktif pada tahap 10 peratus walaupun selepas 16 kitaran kemoterapi.

Katanya, prosedur pemindahan sum-sum tulang itu dijadualkan hujung Disember ini dan langkah penting bagi memberikan peluang kepada Hariz Raif untuk pulih serta mengelakkan penyakitnya berkembang menjadi lebih agresif.

‘’Anggaran keseluruhan kos rawatan dan prosedur pemindahan sum-sum tulang adalah RM240,000 namun keluarga perlu menanggung RM61,201.

‘’Daripada jumlah itu, RM60,000 adalah bahagian kos prosedur pemindahan sum-sum tulang, manakala RM1,201 lagi untuk menampung kos ubat kemoterapi dan peralatan khas sebelum serta semasa prosedur berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Sehubungan itu, katanya, FOCCAN melancarkan rayuan sumbangan awam bagi membantu keluarga kanak-kanak berkenaan mengumpulkan jum­lah dana yang diperlukan supaya rawatan kritikal itu dapat diteruskan mengikut perancangan pihak hospital.

Katanya, setiap sumbangan, tanpa mengira jumlah, mampu memberikan harapan kepada kanak-kanak itu untuk meneruskan rawatan dan menikmati kehidupan seperti kanak-kanak lain.

“Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan kepada akaun Maybank Persatuan Sahabat Kanak-Kanak Kanser Wilayah Utara bernombor 557102120607 dengan meletakkan rujukan transaksi HARIZ RAIF,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini