Chubb-E kembali selepas tiga tahun, pertaruh Tetap Di Sini - Utusan Malaysia

Chubb-E kembali selepas tiga tahun, pertaruh Tetap Di Sini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selepas tiga tahun menyepi daripada pelancaran karya baharu, penyanyi, komposer dan penerbit muzik, Chubb-E kembali mewarnai industri muzik tempatan menerusi single terbaharu berjudul Tetap Di Sini yang mengangkat kisah kesetiaan, pengorbanan dan keikhlasan dalam percintaan.

Dilancarkan pada 23 Oktober lalu di bawah label 1711 Music, lagu ciptaan sepenuhnya oleh Chubb-E itu membawa mesej bahawa cinta sejati tidak semestinya berakhir dengan memiliki seseorang, sebaliknya turut menuntut keberanian untuk melepaskan dan merelakan.

Menurut Chubb-E, inspirasi menghasilkan lagu berkenaan tercetus daripada pengalaman peribadi serta pemerhatiannya terhadap perubahan cara masyarakat moden memahami sesebuah hubungan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, ramai yang terlalu mengutamakan keinginan untuk memiliki pasangan sehingga terlupa bahawa melepaskan seseorang juga merupakan sebahagian daripada pengertian cinta.

“Tetap Di Sini mengisahkan kesetiaan seorang lelaki terhadap wanita yang dicintainya. Namun, mesej utama yang ingin saya sampaikan ialah nilai cinta paling tinggi sebenarnya adalah melepaskan dan merelakan.

“Kalau kita benar-benar menyayangi seseorang, kita juga perlu menerima hakikat bahawa mungkin dia mempunyai impian atau jalan hidup yang berbeza. Kita tidak boleh memaksa seseorang untuk terus bersama hanya kerana terlalu mencintainya,” katanya.

Mengulas judul lagu berkenaan, Chubb-E menjelaskan, frasa Tetap Di Sini bukan merujuk kepada seseorang yang masih menantikan kepulangan bekas kekasih, sebaliknya menggambarkan kenangan dan pengalaman yang terus kekal dalam ingatan meskipun hubungan sudah berakhir.

“Bagi saya, yang tetap di sini bukanlah seseorang yang masih mengharapkan cinta lama, tetapi jiwa, hati dan segala memori yang pernah dilalui bersama.

“Walaupun kita sudah melepaskan seseorang, setiap detik dan kenangan itu tetap menjadi sebahagian daripada kehidupan kita,” jelasnya.

Chubb-E yang mengendalikan sendiri keseluruhan proses penghasilan lagu berkenaan, termasuk penulisan lirik, penciptaan melodi dan penerbitan muzik, mengakui kejujuran emosi menjadi tunjang utama setiap karya yang dihasilkannya.

Katanya, dia tidak mahu menghasilkan lagu sekadar mengikut trend, sebaliknya memastikan setiap karya mempunyai nilai emosi yang dekat dengan dirinya.

“Saya tidak akan menghasilkan lagu tentang sesuatu yang tidak pernah saya rasai atau tidak dekat dengan jiwa saya. Setiap karya mesti mempunyai emosi yang benar-benar saya fahami kerana saya mahu pendengar turut merasakan apa yang cuba disampaikan,” ujarnya.

Dari sudut muzik, Tetap Di Sini memperlihatkan pendekatan berbeza Chubb-E apabila menggabungkan elemen pop balada dengan pengaruh hip hop yang menjadi akar muziknya.

Meskipun membawa tema percintaan yang sarat emosi, penyanyi itu masih mengekalkan rentak rancak serta elemen groove bagi mewujudkan nuansa bittersweet, iaitu gabungan perasaan sedih dan manis dalam satu karya.

“Akar muzik saya memang daripada genre hip hop dan rap. Walaupun lagu baharu ini romantik dan sedih, saya masih mahu mengekalkan elemen groove dan swag hip hop.

“Pendengar masih boleh menikmati rentaknya walaupun lirik membawa kisah yang menyentuh hati. Itulah identiti muzik saya seperti yang pernah diketengahkan menerusi lagu Biru Malam dan Tiada Noktah,” katanya.

Dalam pada itu, Chubb-E bersyukur apabila Tetap Di Sini menerima maklum balas positif sejak dilancarkan, khususnya daripada pendengar lelaki yang dapat mengaitkan jalan cerita lagu itu dengan pengalaman percintaan masing-masing.

Video muzik lagu berkenaan turut menggambarkan perjuangan seorang lelaki mempertahankan hubungan dengan wanita dicintainya meskipun berdepan keterbatasan kemampuan.

Malah, Chubb-E berkongsi pengalaman apabila seorang rakannya yang juga pelakon terkenal menitiskan air mata selepas menonton video muzik berkenaan sebelum pelancaran rasmi.

“Saya tunjukkan video muzik itu untuk mendapatkan pandangannya, tetapi dia sudah menangis sebelum sampai kepada babak kemuncak yang mempunyai kejutan jalan cerita.

“Saya sendiri tidak menjangkakan reaksinya dan ketika itu, saya sedar kisah ini benar-benar mampu menyentuh perasaan orang,” katanya.

Mengulas tempoh tiga tahun tanpa pelancaran karya baharu, Chubb-E menjelaskan, keputusan itu bukan bermakna dia berehat daripada dunia muzik, sebaliknya mahu memberikan tumpuan kepada usaha memperkukuh kemahiran dalam bidang komposisi dan penerbitan.

Tempoh berkenaan turut dimanfaatkan untuk bereksperimentasi dengan pelbagai bunyi muzik, mencari inspirasi serta merancang hala tuju kerjaya seninya.

Sepanjang tempoh itu, dia berjaya menghasilkan puluhan lagu yang bakal diperkenalkan secara berperingkat menerusi single, EP dan album.

“Sepanjang tiga tahun itu, saya sebenarnya bukan berehat tanpa melakukan apa-apa. Saya banyak belajar, bereksperimentasi dengan pelbagai bunyi muzik dan menghasilkan karya baharu.

“Sekarang saya sudah mempunyai puluhan lagu yang siap dan disusun mengikut perancangan. Selepas Tetap Di Sini, insya-Allah akan ada banyak lagi lagu termasuk pop, balada dan hip hop, selain projek duet serta album kolaborasi bersama dua rakan yang dirancang untuk tahun hadapan,” katanya.

Mengulas persaingan industri muzik yang semakin sengit, Chubb-E berkata, dia tidak menjadikan pencapaian artis lain sebagai ukuran, sebaliknya memilih untuk terus memperkukuh identiti dan keunikan muziknya sendiri.

Menurutnya, penglibatan secara langsung dalam hampir setiap aspek penghasilan karya membolehkannya memastikan setiap produk muzik benar-benar mencerminkan identiti seninya.

“Daripada mencipta lagu, menerbitkan muzik, mereka bentuk kulit single sehinggalah menghasilkan idea video muzik, semuanya saya lakukan sendiri. Saya mahu setiap karya benar-benar mewakili diri saya.

“Kalau perlu menggambarkan Tetap Di Sini dalam satu perkataan, jawapan saya ialah realiti. Kadang-kadang, sekuat mana pun kita mencintai seseorang, kalau Allah sudah menentukan tiada jodoh, kita perlu menerima ketentuan itu.

“Cinta sebenar bukan semestinya memiliki, tetapi juga keberanian untuk melepaskan dan merelakan,” katanya.

Sebagai perkembangan positif, Tetap Di Sini turut mendapat tempat dalam beberapa senarai main Spotify, antaranya Made in Malaysia, Pop Terkini, New Music Friday Singapore dan New Music Friday Malaysia, selain Carta Malaysia 50.

Video muzik rasmi lagu berkenaan boleh ditonton menerusi saluran YouTube Seventeen Eleven Music atau pautan https://youtu.be/1ORiPqzoAXQ.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini