Hollywood selama ini sering digambarkan sebagai dunia glamor yang menawarkan peluang luas kepada sesiapa sahaja untuk mencipta nama.
Namun, di sebalik kejayaan filem pecah panggung, karpet merah dan anugerah berprestij, industri perfileman terbesar dunia itu masih berdepan persoalan mengenai kedudukan serta pengiktirafan terhadap golongan wanita.
Persoalan itu kembali menjadi perhatian selepas bekas Ketua Warner Bros. Motion Picture Group, Pamela Abdy, meluahkan rasa kecewa terhadap layanan yang diterima wanita dalam industri berkenaan.
Berikut lima kisah yang memperlihatkan cabaran berbeza dihadapi wanita dalam dunia perfileman di Hollywood.
Pamela Abdy
Selepas meninggalkan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Warner Bros. Motion Picture Group pada Oktober, Pamela tidak memilih untuk berdiam diri.
Dia meluahkan rasa marah terhadap persepsi yang masih membelenggu wanita dalam industri hiburan sering dilabel sebagai sukar bekerjasama, emosional dan terlalu konfrontasi apabila menyuarakan pandangan.
Dia turut mempersoalkan mengapa pengarah lelaki dilihat lebih mudah memberikan sokongan sesama sendiri, sedangkan pengarah wanita turut memerlukan sokongan yang sama.
Cindy Holland
Cindy Holland turut menjadi perhatian selepas meninggalkan jawatan sebagai pengerusi bahagian operasi Paramount. Perubahan struktur kepimpinan susulan pengambilalihan syarikat itu oleh Skydance menyaksikan kedudukannya berubah.
Cindy mengumumkan pengunduran menerusi memo kepada kakitangannya dan menyatakan bahawa beliau menyokong hala tuju baharu syarikat.
Bela Bajaria
Seorang lagi wanita yang mencuri perhatian ialah Bela Bajaria, bekas Ketua Pegawai Kandungan Netflix yang meninggalkan jawatannya selepas hampir 10 tahun bersama syarikat penstriman berkenaan.
Bela merupakan individu penting dalam membangunkan strategi kandungan global Netflix, termasuk kejayaan siri popular seperti Bridgerton dan Squid Game.
Bagaimanapun, perubahan kepimpinan menyaksikan Peter Rice dilantik sebagai penggantinya berkuat kuasa 26 Oktober lalu menimbulkan persoalan wanita mudah dibuang kedudukannya di syarikat besar.
Dana Walden
Situasi sama turut dialami Dana Walden selepas Disney mengumumkan perubahan kepimpinan tertinggi syarikat. Dana gagal memperoleh kerusi Ketua Pegawai Eksekutif Disney yang disandang Josh D’Amaro untuk mengambil alih jawatan berkenaan.
Walaupun tidak memperoleh kerusi CEO, Dana diberikan tanggungjawab baharu sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Kreatif Disney.











