Indonesia minta Google perjelas tindakan padam 19,000 saluran YouTube

Indonesia minta Google perjelas tindakan padam 19,000 saluran YouTube

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Kementerian Digital Indonesia meminta Google memberikan penjelasan terperinci berhubung tindakan menurunkan lebih 19,000 saluran YouTube yang menyokong kerajaan negara itu, kerana langkah berkenaan dikhuatiri menimbulkan salah faham.

Google secara berkala menerbitkan buletin suku tahunan bertajuk Influence Operations Bulletin yang melaporkan penamatan akaun berkaitan negara seperti China, India dan Indonesia sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap operasi pengaruh yang diselaraskan.

Dalam buletin suku ketiga 2026 yang diterbitkan pada 30 Oktober, Google memaklumkan lebih 19,000 saluran yang menyokong kerajaan Indonesia dan pentadbirannya telah diturunkan antara Julai hingga September.

Memuatkan artikel berkaitan…

Indonesia menduduki tempat teratas dalam senarai negara yang dikaitkan dengan jumlah penyingkiran saluran tertinggi, diikuti China dan Russia.

Susulan pertemuan dengan wakil Google Indonesia, kementerian itu meminta syarikat teknologi berkenaan menjelaskan metodologi, proses semakan, kaedah mengukur ketepatan serta kadar kesilapan pengesanan yang digunakan.

“Kami meminta Google memberikan nota penjelasan secara bertulis berserta contoh, yang memperincikan parameter dan kaedah digunakan untuk mengesan serta mengambil tindakan terhadap akaun yang akhirnya ditamatkan,” kata pegawai kanan kementerian itu, Mediodecci Lustarini.

Kementerian berkenaan turut meminta Google menjelaskan bagaimana syarikat itu menentukan lokasi asal pencipta kandungan atau pengendali akaun yang dikenakan tindakan.

Ketika ditanya mengenai kriteria penyingkiran saluran berkenaan, peningkatan jumlah penyingkiran pada suku ketiga serta permintaan kerajaan Indonesia untuk mendapatkan penjelasan, jurucakap Google memberitahu Reuters bahawa syarikat itu secara rutin membanteras operasi pengaruh yang diselaraskan sebagai sebahagian daripada usaha global melindungi platformnya, termasuk YouTube.

“Google sentiasa menguatkuasakan dasar kami tanpa mengira pandangan politik yang disuarakan,” tambah jurucakap itu.

Penurunan akaun berkenaan berlaku ketika kadar sokongan terhadap Presiden, Prabowo Subianto merosot, susulan peningkatan rasa tidak puas hati terhadap keadaan ekonomi negara serta program sosial utamanya.

Penarafan beliau merosot kepada 51 peratus pada Julai, iaitu antara bulan yang diliputi dalam buletin terbaharu Google, berbanding kira-kira 80 peratus pada November 2025.

Google tidak menyebut sebarang konteks politik Indonesia atau memperincikan sebab syarikat itu mengklasifikasikan akaun berkenaan sebagai sebahagian daripada operasi pengaruh yang diselaraskan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini