PETALING JAYA: Bateriku melebarkan sayapnya dengan pembukaan secara rasmi cawangan baharu mereka, Pitstop Cenang di Pulau Langkawi, sekali gus memperluas perkhidmatan penjualan bateri dan bantuan tepi jalan ke seluruh kawasan penduduk pulau peranginan tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Bateriku, Azarol Faizi Ansari Zakaria berkata, pembukaan cawangan baharu tersebut merupakan satu langkah yang tepat pada masanya apabila pulau lagenda tersebut terus mencatat pertumbuhan pelancongan dan menarik kehadiran pelancong daripada pelbagai segmen.
“Langkawi terus berkembang bukan sahaja dari segi jumlah pelawat, tetapi juga dari segi kepelbagaian pengalaman pelancongan dan acara antarabangsa yang ditawarkan.
“Apabila semakin ramai orang meneroka pulau ini, mobiliti yang boleh dipercayai menjadi sebahagian penting dalam memastikan perjalanan mereka lebih lancar dan memberikan ketenangan fikiran,” katanya dalam kenyataan.
Majlis memotong riben tanda bermulanya operasi Bateriku Cenang Pitstop telah disempurnakan oleh Pegawai Daerah Langkawi Nasrun Mohd. Sheriff, bersama-sama dengan warga kerja Bateriku dan para tetamu yang hadir 12 November lalu.
Azarol Faizi berkata, Pitstop Cenang Bateriku yang terletak di Park N Ride Cenang, menyediakan akses lebih dekat kepada perkhidmatan bantuan tepi jalan di salah satu kawasan tumpuan pelancongan utama Langkawi.
Ujarnya, pitstop tersebut beroperasi setiap hari bermula daripada pukul 7 pagi hingga pukul 11.59 malam, menawarkan perkhidmatan seperti penggantian bateri dan jump-start, tunda kenderaan, penghantaran minyak kecemasan, bantuan tayar pancit, perkhidmatan tukang kunci serta sokongan bengkel.
“Pelanggan turut menikmati penghantaran dan pemasangan bateri secara percuma, manakala bateri Bateriku dilindungi dengan waranti seluruh negara sehingga 18 bulan.
“Pembukaan Bateriku Cenang Pitstop ini turut meneruskan usaha Bateriku dalam menyokong mobiliti dalam ekosistem pelancongan Malaysia, termasuk kerjasamanya bersama Tourism Selangor sebagai rakan rasmi bantuan kerosakan kenderaan bagi Visit Selangor 2026,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Bateriku fokus untuk menyediakan akses bantuan tepi jalan yang lebih mudah kepada pengguna tempatan, pelancong domestik dan pelawat antarabangsa, di samping menyokong pertumbuhan berterusan sektor pelancongan di pulau tersebut.
Tambahnya, untuk tahun ini, pihak Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) telah menetapkan sasaran sebanyak 3.65 juta pelawat dalam 2026 bagi memperkukuh kedudukannya sebagai antara destinasi pelancongan utama Malaysia, sekali gus membuka ruang pasaran luas untuk produk Bateriku. – UTUSAN











